Wednesday, 21 October 2015

Usia 55 tahun

Rakan Sebaya sewaktu di sekolah kebangsaan tahun 1968 hingga 1973, kembali berjumpa melalui dua kali pertemuan sempena hari raya 1435H dan 1436H tempohari.

Hari ini, seorang lagi yang dicari telah dijumpai berada di Kelantan. Kini beliau menjawat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan yang bernama Shahidani Abd Aziz. Berpisah selepas tamat darjah 6 kerana memasuki asrama di KE VII Taiping. Pada bulan Mac 2016, beliau telah berjaya di bawa kembali ke Felda Lasah oleh petugas G61 yang dedikasi.

Beberapa minggu lepas, kami bertemu dengan Dato' Dr Shamsul Anwar Sulaiman kerana beliau akan menjalani 'by pass' di IJN pada 10.10.2015 yang lalu. Pada 7 Oktober, kami ziarahnya di Shah Alam dan berkesempatan makan malam di rumahnya sambil berbual panjang tambahan pula kehadiran CEO ANGKASA, Nasir Khan Yahaya.

Kini, Shamsul Anwar berehat dirumahnya selama 2 bulan sebelum boleh bekerja semula. Ramai di antara sahabat yang masih bekerja samada dengan kerajaan dan swasta serta ada yang sudah bersara.

Kalangan kami ada yang bekerja sebagai guru, polis, tentera, jurutera, kewangan, perkhidmatan kesihatan, usahawan dan bekerja sendiri di samping mengambil-alih tugas peneroka felda.

Asal usul kami adalah anak peneroka felda dari generasi kedua. Kini, ada di antaranya mendiami rumah ibu bapa sebagai ketua rumah bagi meneruskan kesinambungan generasi dalam menguruskan ladang untuk menambah pendapatan seharian.

Setakat ini, 5 sahabat kami telah meninggal dunia dan ada kalangan yang sedang menderita sakit.

Menjelang usia 55 tahun kini, ramai kalangan sahabat yang sudah mempunyai cucu. Ada kalangan anak-anak mereka yang sudah belajar hingga ke menara gading dan bekerja di dalam pelbagai sektor.

Beginilah kisah hidup, berputar bagai gasing hingga kehabisan tenaga dan kembali ke tempat asal meneruskan sisa-sisa hidup sebelum menemui Tuhan Yang Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment