Thursday, 30 June 2016

Cuti Raya

Cuti Raya berbeza daripada cutu-cuti lain sepanjang tahun. Bekerja sewaktu hari raya bagi kebanyakan remaja membawa kisah sedih untuk dikenangkan kerana ketika itu mereka mengharapkan berada di rumah walaupun tidak membuat apa-apa membantu emak dan keluarga mereka.

Cuti Raya membawa banyak kenangan kepada semua orang yang berada di Malaysia kerana ketika itulah mereka merancang untuk menziarahi keluarga terdekat bagi mendengar bual bicara sanak saudara. Ianya merupakan saat yang sukar dilupakan oleh setiap dari kalangan kita yang balik kampung terutama yang mempunyai kereta baru.Sebut sahaja hendak berjalan ke destinasi mana, pasti tiada halangan.

Episod jalan raya penuh dengan kenderaan merupakan merupakan fenomena biasa seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya kerana dikhabarkan jumlah kereka berdaftar setiap tahun berjumlah hampir 1.2 juta kenderaan.

Tuesday, 28 June 2016

24 Ramadhan 1437

Rabu, 29 Jun 2016.

Minggu depan, 6 Julai 2016 - merupakan Hari Raya Aidil Fitri.

Di ruang dapur, dipenuhi balang kueh dan isteriku masih berkemas mana patut menukar posisi ruang dapur agar nampak kemas dan ada perubahan.

1 Jul - 10 Jul, merupakan jangka masa rakyat seluruh Malaysia berpusu-pusu meninggalkan rumah untuk menuju destinasi sasaran mereka terutama seluruh negara bercuti.

Kemeriahan beraya mengatasi kemeriahan Ramadhan, setiap tahun suasana tersebut tidak banyak berubah malah semakin rancak kerana jumlah kereta yang didaftar atas jalan melebihi 1.2 juta setiap tahun.

Lebuh raya termasuk jalan raya di penuhi kereta raya yang penumpangnya semua berbaju raya tidak kira rakyat kita, warga asing atau sebagainya yang menghuni ruang negara kita.

Kita lihat, bagaimana pula kemalangan jalan raya ketika penghuninya beraya sakan nanti.

Laman web pekerjaan pilihan rakyat Malaysia

Malaysia merupakan antara lima negara teratas di Asia yang rakyatnya menggunakan laman web sebagai kaedah paling berjaya untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut agensi pengambilan pekerja global, Hays Plc., sebanyak 30 peratus rakyat Malaysia berpendapat rangkaian peribadi dan rujukakn adalah berkesan bagi mencari pekerjaan, manakala 10 peratus memilih laman media sosial seperti Linkedln yang terbukti berjaya membantu mereka.

Pengarah Serantau Hays Plc di Malaysia, Tom Osbourne berkata, hasil kajian itu menunjukkan bahawa adalah penting bagi majikan mempunyai strategi menarik dalam mencari pekerja baharu dengan penekanan kepada teknik pengambilan pekerjaan secara dalam talian.

Katanya, kajian juga menunjukkan bahawa rujukan mulut ke mulut turut memainkan peranan penting dalam membantu seseorng individu mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, ujar beliau, andaian bahawa semua pencari kerja telah beralih ke dalam talian atau media sosial berbanding kaedah tradisional, tidak dapat dibuktikan menerusi kaji selidik yang dijalankan.

Malaysia memiliki penduduk mahir internet dan teknologi yang tinggin dengan menyaksikan pelbagi aktiviti dalam talian termasuk membeli-belah dan urusan perbankan. Oleh itu, bukanlah perkara luar biasa bahawa pencarian dalam talian merupakan kaedah paling berjaya untuk mencari pekerjaan.

Monday, 27 June 2016

Gaharu lebih mahal daripada emas

Gaharu sangat sinonim sebagai pati minyak yang bernilai tinggi. Kini industri gaharu semakin berkembang dengan adanya pelbagai produk berasaskan tumbuhan tersebut.

Bermula daripada produk penjagaan diri hingga produk minuman serta barangan perhiasan dan cenderahati, industri gaharu sememangnya sedang melalui proses inovasi yang mampu pergi lebih jauh.

Pelabagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta, syarikat tempatan serta antarabangsa kini semakin giat membangunkan produk gaharu secara bersepadu.

Tidak terkecuali, syarikatMalaysia iaitu Aseagate (M) Sdn Bhd dan Richwood Capital Sdn Bhd (RWC) yang bertindak sebagai pemain utama industri gaharu apabila menjalankan usaha sama bernilai jutaan ringgit di Laos.

Sebagai sebuah syarikat yang berkepakaran dalam pengurusan perniagaan pertanian dan pengurusan perhutanan, Aseagate bersama-sama RWC memain peranan dalam pengurusan, inokulasi dan bekalan gaharu di negara Laos.

Gaharu adalah salah satu sumber alam bernilai kerana ia lebih mahal daripada emas dengan harga runcit antara kira-kira RM22 000 hingga RM40 000 sekilogram.

Monday, 20 June 2016

Memahami tugas bapa sudah mencukupi

Seorang ayah kepada seorang anak atau lebih dan dipanggil oleh si anak dengan berbagai panggilan terutama papa, dedi, abah atau apa-apa sahaja panggilan lain - itu tanda hormat anak-anak, malah isteri beliau.

Kaum bapa tidak mengharapkan penghargaan atau hadiah, cukup kalau isteri dan anak-anak memahami tugas dan tanggungjawabnya kepada keluarga dan tunjukkan rasa hormat kepada bapa. Itu sahaja sudah mencukupi.

Banyak orang kata bapa adalah antara individu paling penting dalam kehidupan keluarga. Selepas ibu, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab membesarkan dan mencorakkan kehidupan awal kita.

Mencorakkan isteri dan anak-anak di dalam keluarga merupakan tugas seorang bapa yang bertanggungjawab untuk memastikan keluarga tersebut secukup makanan, pakaian dan tempat tinggal. Di samping memastikan keselamatan, kehormatan dan keperluan pendidikan seterusnya membimbing keluarga dalam kesempurnaan hidup bermasyarakat mengikut kehendak syariat.

Bapa adalah guru disiplin di rumah yang aman dan damai kepada si anak...

JELMAAN MANUSIA RAKUS

Masyarakat kita makin meminggirkan kehidupan mulia bertunjang akal budi demi mengejar kemewahan di era melinium abad ke 21 ini.

Lumrah kedengaran di sana-sini, anak-anak Melayu bermasalah dalam segenap segi terutama melibatkan hubungan dengan ibu bapa, adik beradik, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

Ikatan kekeluargaan sudah longgar dan tali persaudaraan tidak lagi dianggap penting. Kita semakin cenderung menyelesaikan masalah bukan menerusi perantaraan ahli keluarga dan sahabat handai dalam suasana kekeluargaan dan ukhwah.

Malah, semangat ukhwah dan silaturrahim Islam semakin diketepikan. Samada adik beradik, saudara dan rakan, semuanya memilih untuk mengambil tindakan mahkamah.

Suatu ketika masyarakat Melayu hairan dan pelik melihat orang lain menyaman sesama sendiri biarpun memiliki pertalian darah dan keturunan. akini kita melakukan perkara yang sama. Apakah ini petanda Melayu sebagai Muslim semakin kehilangan jati diri keMelayuan dan Islamnya sama seperti umat lain.

Nilai, akhlak dan ukhwah tidak seteguh dulu dan tidak lagi diutamakan. Jika ini berlanjutan, apakah ia mencerminkan kemerosotan nilai hidup berkeluarga dan bermasyarakat yang diutamakan dan dimuliakan selama ini mengikut warisan budaya bangsa serta nilai pegangan agama? Apakah institusi keluarga tidak lagi penting berbanding pemburuan kekayaan, kesenangan dan kemewahan hidup.

Paling bahaya apabila masyarakat semakin berleluasa memburu kepentingan peribadi dan individu hingga sanggup berbuat apa sja. Kalau institusi lain dalam keluarga pun sanggup dimusnahkan, apa lagi institusi yang membulatkan masyarakat, bangsa dan negara termasuk adat, agama dan undang-undang tidak lagi dipandang penting. Segala yang menyumbang kepada keutuhan dan keteguhan masyarakat akan dianggap sebagai sekatan dan halangan kepada cita-cita besar peribadi yang lebih diutamakan.

Sekiranya diperhatikan, sebahagian besar kes saman menyaman yang memusnahkan keluarga membabitkan perebutan ke atas hak milik, rumah dan harta termasuk harta pusaka orang yang meninggal dunia. Namun, ada kes yang melibatkan harta yang belum menjadi pusaka kerana bapanya masih hidup dan rumah serta tanah seolah-olah telah dirampas dan disaman anak sendiri.

Warga Malaysia dan bangsa melayu khasnya seolah-olah menciplak tren yang menjadi ciri kehidupan masyarakat moden, terutama di Barat. Sebelum menikmati pembangunan, misalnya, masyarakat Melayu rata-rata merasai keistimewaan hidup bermasyarakat, sekalipun kehidupan ketika itu tidak semewah hari ini. Pegangan teguh kepada nilai hidup bermasyarakat yang mengutamakan perhubungan mesra dan keindahan budaya hormat menghormati dan saling bantu membantu telah memberi makna dan nilai tinggi.

Sekalipun terdapat konflik, semangat ukhwah dan pegangan kuat kepada hidup berakhlak mulia akan mengelak retak membelahkan perpaduan dan kebulatan masyarakat keseluruhannya. Perasaan malu, pertimbangan ke atas harga diri dan pertimbangan menjaga nama baik keluarga dan kampung akan mengelakkan ramai daripada melakukan sesuatu yang dianggap curang atau dilarang. Namun, suasana seperti ini sudah hampir tiada lagi.

Sunday, 19 June 2016

Menjelang Sambutan Jubli Emas FL

Hari ini, Isnin 20 Jun 2016 bersamaaan 15 Ramadan 1437 H.

Lagi 3 minggu atau 19 hari sebelum Felda Lasah menjadi medan pertempuran atau perjumpaan semula anak-anak felda dari seluruh pelusuk dan ceruk rantau kembali bersatu.

Di Felda Lasah, tentunya lokasi mendirikan khemahnya terletak di satu kawasan yang khas semata-mata menyambut kehadiran tetamu khas yang memenuhi ruang atas pentas utama termasuk AJK-AJK sambutan yang telah bertungkus-lumus memerah keringat mencari idea sejak 5 tahun yang lalu.

Kemungkinan juga, beberapa cadangan wakil peneroka gabungan 4 peringkat rancangan digabungkan bersama idea wakil generasi kedua yang telah berjaya di persada serta idea oleh wakil perantau yang kembali dari luar negara.

Akhirnya, tercatatlah di dalam lipatan sejarah yang akan dimasukkan ke dalam akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan felda bahawa Felda Lasah telah berjaya menggamit seramai 5000 keturunannya kembali sambut hari Jubli Emasnya secara meriah dan besar-besaran.

Keluarga 89B dari Jalan Melati akan membawa semua keluarga kami anggaran 30 orang dari Rawang, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mengadakan majlis tahlil arwah ayah pada hari tersebut, sekaligus menghadiri sambutan JE di sana nanti.

Pertemuan semula rakan dan jiran lama yang terpisah mengingatkan kembali bagaimana kehadiran kita pada saat ketibaan membuka pintu rumah kayu yang tidak berkunci antara tahun-tahun awal perpindahan dari kampung halaman tempohari. Dengan tingkap kayu di depan dan belakang tanpa langsir, kita boleh melihat dengan jelas ketibaan jiran satu persatu membawa beberapa beg galas dan keperluan alatan untuk mencuba nasib menempuh alam baru bersama keluarga baru di sini.

Laman kita tanpa pokok dan hanya ditumbuhi lalang serta tiada bekalan air dan api di dalam rumah. Hanya sebuah rumah kayu dengan 1 bilik tanpa pintu dan ada satu ruang depan dan ruang dapur. Ianya boleh memuatkan seramai 4 orang iaitu seorang bapa sebagai ketua keluarga, seorang ibu dan dua anak yang masih usia 7 tahun dan 5 tahun.

Saya ketika itu di dalam darjah 1, lalu memasuki Sekolah Kebangsaan RLKT Lasah yang terletak bersebelahan Pejabat Felda, rumah kakitangan Felda dan Masjid serta deretan kedai runcit.

Kini, suatu perkampungan yang tersusun rapi dengan segala kemudahan. Perubahan ketara kepada rumah penduduknya yang rata-rata diubahsuai ada yang menjadi banglo, rumah batu dan ada yang kekal kayu tetapi dihias serta dicatkan warna kesukaan. Keliling rumahnya dipenuhi oleh tumbuhan terdiri pelbagai spesis buahan, herba dan bungaan memeriahkan lagi suasana perkampungan yang indah dan damai ini.

Jika dahulu stor getah menjadi laluan kami untuk keluar masuk ke Jalan Melati samada untuk urusan ke kebun atau ke pekan Sungai Siput sambil menanti bas. Teringat lagi bau getah yang menusuk hidung tetapi kini tapak stor getah telah didirikan pusat internet desa bagi mencelikkan warga di sini untuk membuat kerja sekolah atau bermain komputer.

Apakah akan ada lagi perubahan ketara di Felda Lasah selepas kehadiran Menteri Besar Perak di Festival Jubli Emas nanti...

Saturday, 18 June 2016

Mengurus Harta Pusaka di Felda

Mengikut istilah, Ilmu Faraid ialah ilmu yang berkaitan dengan kaedah fikah dan matematik. Malalui kaedah ini, dapat diketahui hak setiap waris pada harta peninggalan si mati.

ilmu faraid mengandungi pelbagai kaedah atau formula dan pengiraan. Ilmu ini pula terbentuk daripada kombinasi tiga ilmu iaitu:

     - Ilmu Nasab

     - Ilmu Fatwa

     - Ilmu Matematik

Ilmu Nasab ialah ilmu berkaitan keturunan si mati yang merangkumi:

     - Keturunan ke atas iaitu ibu, bapa, nenek dan datuk

     - Keturunan ke bawah iaitu anak, cucu dan seterusnya

     - Keturunan sisi iaitu saudara seibu sebapa, saudara sebapa dan saudara seibu serta keturunan mereka

     - Keturunan sisi kepada bapa si mati iaitu bapa saudara dan keturunannya

     - Keturunan sisi kepada datuk si mati iaitu datuk saudara dan keturunannya

Nasab bererti darah daging atau keturunan hakiki. Oleh itu, anak angkat, anak tiri, anak susuan dan anak tidak sah taraf tidak mewarisi harta pusaka kerana mereka bukan daripada darah daging si mati.

Faraid memerlukan kajian yang teliti terhadap bentuk kes yang wujud, baik dari seg ahli waris yang berhak dan harta yang boleh difaraidkan, sebelum pembahagian pusaka dapat dilaksanakan. Bilangan kes yang perlu dipertimbangkan mungkin besar. Banyak petua dan syarat yang perlu dipatuhi, Oleh itu perlu ditegaskan bahawa satu penyiasatan yang rapi perlu dilakukan supaya ralat atau kesilapan dapat dihindari.

Ramai di kalangan kita yang salah faham tentang konsep faraid. Sebenarnya harus difahami bahawa faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian.

Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris.

Salah tanggapan ini menyebabkan banyak kes yang berlaku yang mana satu harta dikongsi oleh ramai waris yang tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi.

Keadaan ini menyebabkan nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana para waris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut.

Meneliti dan Melintasi Jambatan

Menyelusuri sungai dan denai, mengharungi arus deras dan menggunakan kudrat untuk merentasi bukit bukau dan gunung ganang malah melintasi jambatan gantung yang usang memeritkan pemikiran yang semakin uzur ini...

Semakin jauh berjalan, keletihan yang ditinggalkan memberi bekas-bekas rintiknya peluh membasahi dahi, baju usang dan lusuh menempuh panas mentari serta hujan mencurah...

Tiga hari lepas Hari Raya 1436 H yang lalu, kembalinya ke rahmatullah ayahandaku. Meninggalkan segala-galanya, ketika anak-anak sudah punyai keupayaan menyara diri dan keluarga malah mempunyai ramai cucu-cucu dan ada yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

Menjelang Syawal 1437 H nanti, doa selamat pada Hari Raya keempat diadakan oleh emak sebagai mengingati kembalinya arwah ayah sepurnama.

Ketika tempoh itu, sepurnamalah aku yang mengambil alih Ketua Keluarga ingin menyempurnakan hasrat ayah untuk menguruskan keluarga yang ditinggalkannya...berbekalkan pengalaman menguruskan pasukan ketika berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pemerintah dan Ketua Terup di mana-mana unit RAJD di seluruh negara, tidak mungkin mengurus keluarga kecil ini menjadi halangan bagiku.

Selama setahun ini juga, aku berhasrat mencari beberapa ilmu menguruskan tanah felda kerana aku diberi amanah semasa menghadiri taklimat oleh Pengurus Felda Lasah semasa menanda-tangani borang tanam semula kelapa sawit tempohari.

Di samping menambah ilmu syariat dalam bidang faraid kerana ilmu ini suatu yang jarang sekali dijumpai ada tenaga pengajar sukarelanya...puas mencari dan bertanyakan kepada orang agama serta jiran tetangga akhirnya kini mendapat kefahaman yang jelas.

Untuk anak felda generasi kedua, carilah ilmu ini kerana suruhan Allah Taala menghendaki kita melaksanakannya samada suka atau tidak, kita perlu kepada jalan yang telah ditunjukkan. Ikutilah jalan yang lurus ini kelak kita semua peroleh manfaatnya.

Sebagai anak sulung, aku ingin manfaatkan segala ilmu yang ada dalam menguruskan hala tuju keluarga yang ditinggalkan dengan harta yang boleh dimanfaatkan bagi kami dan warisan seterusnya. Kerajaan terdahulu berhasrat membasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu, keluarga ini telah keluar dari kepompong tersebut dan tidak mustahil ianya bakal menjadi miskin andainya tiada persiapan awal diambil untuk mengatasinya.

Kematian: Hj Ralib bin Hj Abu Bakar
Tarikh Kematian: 19 Julai 2015 ketika berusia 79 tahun
Tarikh Masuk Felda: 1 Julai 1968
Waris: Seorang Isteri dan 5 Anak Lelaki & 2 Anak Perempuan

1. Fardu - Isteri ; 1/8
2. Asobah - Anak Lelaki : Anak perempuan - 2:1

Sekatan Pemilikan ke atas tanah oleh undang-undang di bawah Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen telah meluluskan satu akta yang dinamakan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960 (GSA). Tanah yang terlibat dengan akta ini ialah tanah-tanah Rancangan FELDA, FELCRA dan Rancangan Tanah Pinggir.

Masalah yang berbangkit daripada akta ini ialah peruntukan Seksyen 14, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960 (Pindaan) 2002 yang tidak membenarkan tanah-tanah tersebut di miliki oleh lebih daripada dua orang pemilik.

Mengikut Hukum Faraid, setiap harta seseorang yang mati adalah menjadi harta pusaka. Demikian juga harta seorang peneroka FELDA yang meninggal dunia. Walaupun hak waris-waris tidak dinafikan untuk mewarisi tanah rancangan tersebut, undang-undang GSA menegah daripada nama-nama waris didaftarkan di dalam hakmilik tanah kecuali dua nama sahaj. Apa yang berlaku dalam pembahagian tanah GSA ketika ini, sekiranya si mati meninggalkan seorang isteri dan 7 orang anak: 5 lelaki dan 2 perempuan dan mereka menuntut bahagian masing-masing mengikut Hukum Faraid, pegawai Unit Pembahagian Pusaka selaku Pentadbir Tanah akan melantik sekurang-kurangnya seorang pentadbir untuk didaftarkan di dalam geran tanah. Tugas pentadbir ialah menguruskan ladang dan membahagikan hasilnya kepada waris-waris mengikut faraid atau sebagaimana dipersetujui oleh waris-waris. Mengikut Hukum Faraid bahagian waris-waris seperti berikut:

     : Isteri - 7/56
     : Anak Lelaki - 16/56
     : Anak Perempuan - 8/56

Sekiranya, diandaikan hasil yang diperolehi daripada penjualan buah kelapa sawit sebanyak RM1000 sebulan, masing-masing akan memperolehi bahagian seperti pengiraan di atas.

Masa berlalu dan berlaku kematian kepada anak lelaki pertama yang meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak, 1 lelaki dan 2 perempuan. Generasi ketiga ini juga berhak mewarisi harta bapa mereka mengikut kaedah Munasakhat pula.

Antara Hukum Syarak berkaitan, beberapa kaedah boleh digunakan, antaranya: Hukum faraid, Hukum Wasiat, Hukum Hibah, Harta Sepencarian dan Sah Taraf Anak/ Anak Angkat.

Berdasarkan kepada undang-undang yang berkaitan dengan urusan pembahagian harta pusaka orang Islam seperti tersenarai, dapatlah disimpulkan bahawa urusan pembahagian harta pusaka adalah kombinasi daripada undang-undang sivil dan undang-undang/ hukum syarak. Pembahagian harta pusaka orang Islam sebenarnya merupakan perkongsian bidang kuasa antara Pentadbir Tanah dan Mahkamah Sivil di satu pihak dan Mahkamah Syariah di satu pihak lagi.

Langkah Demi Langkah

Langkah I:   Membuat faraid di Pejabat Agama

Langkah II:  Membuat perbicaraan di Pejabat Tanah

Langkah III: Membuat persetujuan di Pejabat Felda

Langkah IV: Membuat persetujuan sesama adik-
beradik

Sebenarnya, Ilmu Faraid tidak susah. Asasnya boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya. Cuma, apabila kita sampai ke tahap yang lebih mendalam, barulah kita dapati perkara yang berkaitan dengan faraid agak sukar diselesaikan. Untuk kes-kes biasa, apabila si mati meninggalkan waris-waris utama, iaitu suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak, tidaklah sukar. Kedua-dua ayat al;Quran, ayat 11 dan ayat 12 Surah An-Nisa dapat dijadikan panduan.

Friday, 17 June 2016

Teringat Rakan Sebaya

Umur kami sama, lahir awal dan pertengahan serta hujung tahun 1961. Kemudiannya, selepas 40 tahun berkelana mengharungi lautan kehidupan di alam pekerjaan maka ditemukan semula melalui Grup 61 yang diuruskan oleh Saudara Mior Kamaruzaman dan Mior Raduan di Felda Lasah.

Antara aktivitinya ialah menyatukan kembali dan pertautan kisah silam alam persekolahan ketika dalam darjah 1 hingga darjah 6. Tidak terkecuali mengadakan perjumpaan semula dengan bekas Guru Besar dan guru-guru lama yang masih ada di dunia ini. Momentum semasa kecil mengimbau keikhlasan berkawan membuat kawan lama bertaut semula. Indahnya memoir tersebut terserlah apabila hampir sepuluh siri perjumpaan yang diadakan oleh grup-grup ini samada secara beramai-ramai atau kumpulan kecil.

Walaupun umur sama tetapi kemahiran dan kepandaian tidak sama kerana ada yang berpangkat tinggi, pertengahan dan sederhana penghidupannya. Masing-masing membawa haluan selepas darjah 6 mengikut minat dan kelulusannya untuk mencari ilmu dan pengalaman. Mengingat kembali rakan sebaya menguatkan ingatan kami untuk menghidupkan kemesraan apabila ada kalangannya yang sudah beranak cucu dan ada yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan serta pelbagai aktiviti lain. Adalah menjadi hasrat di kalangan kami untuk membuat sesi perjumpaan semula di majlis itu dan bolehlah meluangkan masa yang ada bagi mengetahui situasi mereka secara lebih dekat lagi.

Tahun ini, dikalangan kami telah memasuki usia 55 tahun. Kematangan usia mampu menjadi asas kepada kepemimpinan kami membimbing grup ini ke arah lebih berketrampilan menuju Wawasan 2020 nanti.

Bukakanlah hati-hati rakan kami yang berjaya dan sudah menjadi tokoh kepada negara untuk memerhatikan kisah dan kehidupan rakan serta anak buah di Felda Lasah yang terlantar, miskin dan kurang upaya...serta pelbagai tanggungan agar mereka sama-sama dapat harungi kehidupan selesa seusia mereka.

Tidak semuanya beroleh apa yang dicita, ada kalanya terbantut di tengah jalan dan ada yang tersangkut seawal memasuki alam pekerjaan...bersyukurlah kepada rakan yang berjaya mengharungi kehidupan dengan kejayaan namun akhirnya usia ini mematangkan kita agar muhasabah diri dan kembali tunduk kepada kehendak Ilahi. Kita bakal kembali dan baki usia yang ada eloklah kita berbakti kepada keluarga sendiri, adik beradik kita, saudara mara jauh dan dekat, jiran tetangga, sahabat karib dan sahabat G61 serta masyarakat kita.

Berkemungkinan semasa Jubli Emas Felda Lasah, ada lagi foto kenangan terbaru yang akan tersiar di dalam Utusan Malaysia.

Rakan sebaya membawa berkat andainya kita muafakat dalam bicara, dalam budi dan dalam hasrat...




Tuesday, 14 June 2016

Mencari Damai di MALAYSIA

Kepemimpinan negara kini di bawah teraju Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri; Menteri Pertahanannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATMnya pula ialah Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Kemajuan yang dicapai oleh ATM di dalam persiapan menghadapi musuh negara malah kesiapsiagaan mempertahankan ancaman dalam dan luar amat membanggakan. Ini terbukti apabila Pangkalan laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) dan Pangkalan Laut Tun Azizan (PLTAZ) yang beroperasi sekitar Laut Sulu perairan timur Sabah adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Ia merupakan dua buah pangkalan tentera di tengah laut yang mampu memberi bantuan kemudahan kepada operasi ketenteraan dalam perairan negara. PLTSR asalnya adalah daripada pelantar minyak milik Petronas yang sudah tidak digunakan lagi dan diubah suai sementara PLTAZ pula ialah sebuah kapal kargo yang diubah suai supaya memenuhi spesifikasi pangkalan laut bergerak.

Strategi cegah rintah adalah kaedah utama yang diamalkan apabila PLTSR dan PLTAZ dibangunkan dan maklumat risikan adalah salah satu faktor kritikal yang dapat menjayakan apa yang dirancang dalammencegah sesuatu perkara. Kaedah terbaik mendapat maklumat risikan adalah berada di kawasan sasaran. Tetapi oleh kerana kawasan tersebut adalah milik Filipina maka kaedah PLTSR dan PLTAZ yang boleh berada dekat dengan kawasan sensitif itu dianggap strategi terbaik.

Thursday, 9 June 2016

berbuka puasa Ramadhan 1437H

telah empat hari berlalu Ramadan, kami berjaya mengharunginya dengan memasak sendiri tanpa menjengah basar ramadan...hidangan bubur pulut hitam, kueh gulung, pisang goreng,...terlupa dah berikutnya...

Ke bazar ramadhan pada hari ke-8, di Tmn Tun Teja membawa kepada kemudharatan perut...beli mi rebus tapi kuahnya seakan kehijauan seperti lumut...entahlah.

Hari ke-9, membantu hidang iftar ramadhan di Masjid Batu 16 Rawang menyaksikan hidangan berbuka beberapa ketul kuih dan beberapa kombinasi air tarikan tengkuk yang pelbagai warna...

Hari ke-10, kembali memasak mi goreng yang dibelikan oleh Datuk Razali sewaktu berbelanja di Az Zain Wangsa Maju...

Petang nanti, belum lagi berkira-kira...

Jubli Emas FELDA LASAH

Felda Lasah merupakan penempatan rakyat Malaysia luar bandar yang berpendapatan rendah. Biasanya, peneroka ini bekerja di kampung yang menyara diri sebagai penoreh getah, pesawah padi dan bekas askar wataniah. Kebanyakannya sudah berumah tangga dan masih sihat ketika memohon memasuki peneroka rancangan tersebut.

Ianya terletak di dalam Hutan Simpan Lasah yang boleh dimasuki melalui pekan kecil Sungai Siput. Kini, simpang memasuki Felda Lasah telah ada bangunan Hospital Sungai Siput bagi kemudahan rawatan pesakit yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk sekitar.

Sekitar tahun 1964, Felda Lasah mula diterokai oleh pihak pengurusannya dengan menebang-tebas kawasan penempatan dan tapak ladang. Secara beransur-ansur, peneroka di bawa masuk sebagai pekerja sementara bagi mempercepatkan kerja penanaman anak benih getah dan sebagainya.

Antara tujuan utama menempatkan peneroka di kawasan pendalaman adalah menghapuskan aktiviti kegiatan komunis sekitar Banjaran Titiwangsa terutama laluan Lasah ke Grik.

Setelah memasuki usia 50 tahun, Felda Lasah menempuh era kejayaan di dalam pelbagai bidang antaranya peralihan komoditi getah kepada kelapa sawit. Begitu juga, kejayaan anak peneroka bagi generasi kedua di dalam kerjaya dan kejayaan luar biasa dalam akademik serta keusahawanan.

Tidak lupa kepada generasi pertama peneroka dari Peringkat A yang tabah dan bekerja keras melaksanakan tugas membangunkan penempatan tersebut. Keyakinan dan ketabahan mereka telah membuka mata pelapis kedua dan ketiga bagi menduduki kawasan felda yang serba baru dan asing bagi keluarga yang merantau dari kampung asal mereka.

Kini, ramai dari kalangan mereka telah kembali ke rahmatullah dan beberapa antara mereka masih ada sekitar 20 peratus untuk dicungkil pengalaman pertama mereka menjejaki tanah ini. Ketahanan mental dan kekuatan fizikal mereka telah membantu perkembangan dan kemajuan tanah bertuah tersebut sehingga berjaya melaksanakan impian generasi kedua dan ketiga menempuh kehidupan di luar rancangan.

Dengan jumlah penduduknya melebihi 3500 orang, dijangkakan Sambutan Jubli Emas nanti lebih meriah dengan kembalinya anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit memenuhi ruang rumah dan tapak festival bersempena musim Hari Raya Aidil Fitri 1437 Hijrah.

Dengan adanya grup Jubli Emas Felda Lasah, lebih cepat dan pantas ikatan silaturrahim terjalin dan maklumat festival dapat di sampaikan secara tepat dan teratur.