Thursday, 17 November 2016

Cikgu Rauhi, dalam kenangan

15 November 2016, jam 1045 malam di Hospital Ipoh...pengakhiran hayat beliau di sisi isteri dan anak-anak selepas bertarung dengan siri demi siri penyakit yang dialaminya sejak akhir-akhir ini.

Kesihatannya mula menurun sekitar tahun 2016, susut berat badan dan tidak seimbang perwatakannya serta kurang menulis di blognya.

Lahirnya, tahun 1953 di New Pasir Putih, Ipoh. Meneruskan pengajian di Universiti Malaya dalam tahun-tahun 1970-an, aktif kegiatan ko-kurikulum terutamanya persilatan Melayu dan merupakan pelopor kepada keujudan silat cekak di UM.

Menjadi jurulatih silat sepanjang pengajiannya, pernah dimasukkan ke hospital akibat kecederaan di pinggang selepas terjatuh ketika terbang setinggi 5 kaki lalu ditepis oleh pesaingnya. Namun, tidak melunturkan semangatnya berjuang sehingga akhir hayat dalam dunia persilatan.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah, meneruskan kerjaya perguruan dan mula mengajar di Sekolah Menengah Felda Lasah sekitar tahun 1977 hingga 1978.

Jawatan terakhir beliau, Pengarah Pendidikan Negeri Perak membuktikan iltizamnya ingin membentuk anak Perak agar mencapai keilmuan tertinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sepanjang beliau mengajar di sekolah pedalaman, banyak aktiviti yang telah dilaksanakannya terutamanya dalam mengenalpasti anak-anak yang ada potensi masa depan. Beliau sering mengambil peluang menyelami kisah sebenar apa permasalahan si anak muridnya dengan mengunjungi rumah mereka dan bertanyakan ibu bapa lalu menyelesaikan situasi.

Ianya, terbukti berjaya membentuk sahsiah si murid dengan kekuatan minda di samping dorongan dan sikap positif yang ditunjukkan menjamin kelangsungan hidup seseorang. Sentuhan ajaib beliau menghasilkan kejayaan yang ajaib terhadap anak muridnya.

Percayalah, beliau mampu mengaktifkan pemikiran anak murid yang disentuhnya dengan corak kepelbagaian mengikut situasi kejadian yang terjadi lalu memungkinkan mereka menempa kecemerlangan. Beliau tidak minta dibalas atas apa yang telah ditabur tetapi menabur bakti yang bertebaran seperti kelopak-kelopak ros yang berterbangan di udara.

Hari ini, beliau telah kembali menemui Penciptanya tetapi segala kata-katanya tetap diingati sebagai pembakar semangat kami yang pernah mengenalinya. Seorang yang suka berbuat baik, membaikkan orang dan menyangi semua orang termasuk keluarganya sendiri.

Semasa kanak-kanak, beliau rapat dengan ibu dan kakaknya. Apabila dewasa, seorang yang rajin belajar dan berkemas serta memasak. Sebelum berkahwin, berulang alik dari rumah ibunya menaiki bas setiap pagi ke pekan Sungai Siput lalu menumpang kereta ustaz meneruskan perjalanan ke tempat mengajar di Felda Lasah.

Terlalu banyak untuk dicoretkan tetapi cukuplah sekadar itu ketika ini...

    

Monday, 31 October 2016

55 Tahun Lalu...

23 Oktober 2016,

Lima Puluh Lima tahun melayari kehidupan bersama keluarga yang terdiri daripada isteri dan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan...

Aku masih berada di Rawang, mengisi masa lapang dan senggang dengan membuat kerja-kerja kemasyarakatan sekitar Kg Melayu Batu 16...


Thursday, 6 October 2016

1 Muharam 1438

Azam Tahun Baru

Berazam untuk merekod sejarah sendiri bersama keluarga meniti usia 55 tahun pada 23 Oktober nanti.

Antara peristiwa tercatat pada tahun lepas, anak sulong mendapat tempat kerjanya dalam PDRM dan dikehendaki bertugas di Negeri Sabah mulai 1 Disember 2015 lalu.

Anak kedua telah menamatkan pengajian di UIAM, kini bekerja sementara di Kedai Buku Karangkraf Rawang sebelum sambung latihan di MAI, Bukit Beruntung selama 2 bulan.

Anak ketiga masih ada setahun lagi pengajian di UPM.

Sempena tahun hijrah, berazam mengurus keluarga ini semoga sihat, selamat dan bahagia.


Thursday, 8 September 2016

Persiapan UMNO

PEMIMPIN

Bersilih ganti kepemimpinan di dalam mana-mana organisasi samada yang besar, sederhana dan kecil sudah lumrah berlaku baik di mana-mana pengurusan politik, perniagaan atau beberapa agensi lain.

PENGIKUT

Keluar dan masuk organisasi juga menjadi lumrah mengikut perasaan dan keyakinan individu yang meminati untuk bersama mereka yang memimpin pertubuhan tersebut.

RAKYAT

Ada pelbagai kelompok rakyat di Malaysia ini. Ada yang berminat menjadi ketua dan juga pengikut setia kepada pemimpin yang mereka sayangi tetapi sekiranya sudah jemu maka pemimpin tersebut dicemuh.

Parti-parti yang ujud silih berganti dan memasuki rekod tahun ini, Parti Pribumi yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan oleh ROS.

Maka, bertebaranlah poster-poster di mana-mana tempat apabila terjadinya pilihan raya umum nanti. Itulah meriahnya rakyat di bumi bertuah ini berpesta setiap kali menguruskan PRU tersebut.

UMNO

Lokasinya terletaknya Malaysia, seperti jantung pisang yang terjuntai dari setandan pisang. Dan dijaga rapi oleh beberapa pelepah daun menghijau yang terdiri daripada 9 buah negara ASEAN.

Dari situ, UMNO sebagai tonggak kepimpinan BN yang mengetuai kepimpinan negara ini.

UMNO memecahkan rekod sebagai sebuah parti terulung di dunia yang dapat bertahan begitu lama menerajui negara ini tanpa kalah sejak tahun 1957.

Biarlah UMNO berterusan memimpin negara ini kerana hanya parti yang tegar dan tersusun selepas melalui asam garam kehidupan dan corak susunan mantap sistem peralihan kepimpinannya telus dan dapat difahami oleh pelbagai lapisan rakyat.

Rakyat dan UMNO seperti eratnya pokok pisang dan anak-anak pisang, kerana pokok pisang akan terus tumbuh walaupun di potong beberapa kali. Namun, selepas mengeluarkan buahnya pasti ia mengundur diri untuk di ambil alih oleh anak pokoknya yang senior.

Rakyat yang waras dan penuh disiplin diri akan di beri petunjuk yang mana satu parti yang boleh kekal lama dan kekal melindungi rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Thursday, 14 July 2016

KEKECAMUKAN PEMIKIRAN

Orang Melayu berkecamuk sesama sendiri aik dalam apa jjua bidang samada sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Mereka seolah-olah hilang arah dan pertimbangan dalam menyokong atau menentang segala idea bernas yang di utarakan oleh pemimpin. Manakala pemimpin pula dicantas oleh bekas pemimpin terdahulu dan ingin meruntuhkan segala persetujuan sebelum itu.

DAP merupakan sebuah parti rasis, bijak mengambil kesempatan terhadap peluang perpecahan agenda peribadi mengatasi kepentingan rakyat di kalangan bekas-bekas pemimpin tertinggi Melayu terutama bekas-bekas PM, TPM, Menteri dan seumpamannya.

Rakyat yang cetek ilmu dalam bidang politik dijadikan mangsa kepada dakyah-dakyah yang disebarkan melalui media untuk memberikan penentangan terhadap kerajaan yang sedia ada.

Setiausaha Agung DAP sentiasa memikirkan bagaimana untuk menyingkirkan orang Melayu terlibat didalam bidang ekonomi terutama yang melibatkan pelaburan besar di luar negara seperti penglibatan FELDA dalam urusniaga hartanah perhotelan di London.

Tetapi, individu korporat orang Cina yang membuat pelaburan di seluruh dunia, terus disokong oleh mereka yang mengesahkan bahawa hanya konglomerat orang Cina sahaja berhak membeli hartanah dan melibatkan diri dalam bisnes di sana.

Inilah pandangan yang bersifat perkauman dan prajudis terhadap orang Melayu oleh mereka di dalam masyarakat Malaysia. Biar apa pun, orang Melayu mesti cepat menyedari bahawa mereka mesti mengubah pandangan dan persepsi dalam semua bidang agar terus maju di dalam negara ini terutama dalam pencapaian akademik dan ekonomi supaya kekuatan politik kita mantap.

Sejarah tidak pernah berbohong menyatakan orang Melayu telah lama menjadi pedagang, pelaut dan panglima. Ini membuktikan, selagi ada kekuatan dalaman, orang Melayu akan terus menjulang keistimewaan sebagai pemimpin nombor satu negara yang dapat menunjuk arah kecemerlangan bangsa ini.

Sunday, 10 July 2016

JUBLI EMAS - USIA 50 TAHUN FELDA LASAH

Felda Lasah meraikan usianya sempena 50 tahun peneroka awalnya mendiami bumi bertuah ini. Sepanjang perjalanan meniti usia tersebut, pelbagai cerita dan peristiwa melingkari warganya dari pelbagai peringkat usia insan-insan yang didatangkan dari seluruh pelusuk negeri Perak.

Hari langsungnya, perasmian sambutan pada 9 Julai yang lalu dihadiri oleh anak peneroka felda yang jauh merantau kini termasuklah dari seluruh negeri termasuk dari luar negara. Ini sesuatu yang memeranjatkan dan tidak dijangka begitu hebat sambutan yang diberikan oleh warga felda.

Ini bertepatan pula dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1437 Hijrah yang jatuh pada 6 Julai, mengeratkan dan menghubungkan antara jiran tetangga yang sudah lama terpisah malahan tidak pernah bersua sebelum ini dipertemukan di suatu lapangan yang dihias-indah semata-mata meraikan kenangan silam sempena usia 50 tahun lalu.

Himpunan pelbagai generasi (G60 - G80) yang memulakan sesi persekolahan  awal  semasa di sekolah kebangsaan dulu direalisasikan melalui keujudan grup generasi melalui generasi yang mendirikan pondok kelompok bagi pertemuan kenangan tahun ini.

Melalui himpunan bersama itu, beberapa cadangan dan pandangan bakal muncul untuk memeriahkan sambutan akan datang terutama yang melibatkan semua anak peneroka. Kini, anak peneroka yang berjaya menjadi ikon-gen2 telah dinobatkan sebagai antara mereka yang beroleh keupayaan menembusi kemampuan dalam bidang yang diceburi. Keyakinan mereka mengharungi ombak dan badai kerjaya adalah hasil titik peluh arwah bapa sebagai peneroka felda yang menyara pembelajaran mereka dengan berusaha bertungkus lumus mengusahakan ladang. Hasil yang diperolehi itu di uruskan dengan sebaik mungkin bersama ahli keluarga yang lain dan ada di antaranya yang mengalah semata-mata memberi laluan kepada si abang atau si adik yang ingin melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Pengorbanan semua pihak di dalam keluarga itu, menghasilkan SEINDAH KOMUNITI, SEMANIS FAMILI di kalangan keluarga besar Felda Lasah ini.

Bermula semalam hingga tahun 2021, kita tetap berjubli emas bersama sahabat sekampung di sini atau melalui grup ini agar mereka yang terlibat menjayakan sambutan akan sentiasa segar dan mekar membawa idea dan inovasi ke arah pencapaian Felda Lasah yang lebih gemilang.

Thursday, 7 July 2016

Hari Raya Aidil Fitri 1437H dan Jubli Emas Felda Lasah

6 Julai 2016 merupakan Hari Raya kepada umat Islam seluruh dunia. Maka, berduyunlah anak desa yang di perantauan kembali ke pangkuan keluarga tercinta. Dan, berbondonglah beraneka biskut dan juadah yang dipersiapkan terutama lemang dan ketupatnya.

9 Julai 2016 juga merupakan hari Jubli Emas Felda Lasah yang julung kali diadakan sempena 50 tahun keujudan penempatan kepada penduduk yang tiada berharta semasa era pemerintahan PM Tun Hj Abdul Razak Datuk Hussin, Perdana Menteri Ke 2 Malaysia. Beliau mencetus wawasan melihat kejayaan pihak pengurusan felda agar tahap kemunduran anak Melayu diperbaiki agar mencapai tahap kecemerlangan. Dan, kini selepas 5 dekad tercapai impian tersebut kerana berjaya mengubah destini anak felda melalui kombinasi keusahawanan dan akademik mereka.

Beberapa tokoh berjaya diujudkan di dalam pelbagai bidang terutama bidang profesional dan penempatan pekerjaan di dalam dan luar negara. Ada kalangan mereka mencapai tahap maksima melalui beberapa aktiviti peringkat negara dan anatarabangsa. Kejayaan luar biasa anak felda jika hendak diukur amat mustahil difikirkan memandangkan situasi hidup di pendalaman tetapi boleh mengubah daya fikir ke arah positif melalui transformasi pengalaman dan pemikiran global.

Biarpun, ada kalangan anak felda yang sibuk dengan pekerjaan masing-masing namun komitmen mereka untuk bersama di dalam majlis tersebut menyebabkan ada yang mengambil cuti panjang semata-mata untuk melibatkan diri di samping bersuai-kenal sambil bermesra dengan generasi pertama yang masih ada hingga kini.

Bagi generasi muda, kesempatan tersebut merupakan kisah sejarah yang tidak akan berulang lagi namun ada kalangan yang tidak sempat bersama hanya kenangan abadi melalui alam maya yang dapat dijadikan memori indah walau di mana jua berada.

Adalah diharap, pihak jawatankuasa ada menyediakan sebarang bentuk cenderahati kepada setiap rumah sebagai kenangan abadi serta membuat buku cenderahati bergambar yang dapat dilihat untuk 50 tahun akan datang sempena seabad Felda Lasah Tahun 2066.

Thursday, 30 June 2016

Cuti Raya

Cuti Raya berbeza daripada cutu-cuti lain sepanjang tahun. Bekerja sewaktu hari raya bagi kebanyakan remaja membawa kisah sedih untuk dikenangkan kerana ketika itu mereka mengharapkan berada di rumah walaupun tidak membuat apa-apa membantu emak dan keluarga mereka.

Cuti Raya membawa banyak kenangan kepada semua orang yang berada di Malaysia kerana ketika itulah mereka merancang untuk menziarahi keluarga terdekat bagi mendengar bual bicara sanak saudara. Ianya merupakan saat yang sukar dilupakan oleh setiap dari kalangan kita yang balik kampung terutama yang mempunyai kereta baru.Sebut sahaja hendak berjalan ke destinasi mana, pasti tiada halangan.

Episod jalan raya penuh dengan kenderaan merupakan merupakan fenomena biasa seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya kerana dikhabarkan jumlah kereka berdaftar setiap tahun berjumlah hampir 1.2 juta kenderaan.

Tuesday, 28 June 2016

24 Ramadhan 1437

Rabu, 29 Jun 2016.

Minggu depan, 6 Julai 2016 - merupakan Hari Raya Aidil Fitri.

Di ruang dapur, dipenuhi balang kueh dan isteriku masih berkemas mana patut menukar posisi ruang dapur agar nampak kemas dan ada perubahan.

1 Jul - 10 Jul, merupakan jangka masa rakyat seluruh Malaysia berpusu-pusu meninggalkan rumah untuk menuju destinasi sasaran mereka terutama seluruh negara bercuti.

Kemeriahan beraya mengatasi kemeriahan Ramadhan, setiap tahun suasana tersebut tidak banyak berubah malah semakin rancak kerana jumlah kereta yang didaftar atas jalan melebihi 1.2 juta setiap tahun.

Lebuh raya termasuk jalan raya di penuhi kereta raya yang penumpangnya semua berbaju raya tidak kira rakyat kita, warga asing atau sebagainya yang menghuni ruang negara kita.

Kita lihat, bagaimana pula kemalangan jalan raya ketika penghuninya beraya sakan nanti.

Laman web pekerjaan pilihan rakyat Malaysia

Malaysia merupakan antara lima negara teratas di Asia yang rakyatnya menggunakan laman web sebagai kaedah paling berjaya untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut agensi pengambilan pekerja global, Hays Plc., sebanyak 30 peratus rakyat Malaysia berpendapat rangkaian peribadi dan rujukakn adalah berkesan bagi mencari pekerjaan, manakala 10 peratus memilih laman media sosial seperti Linkedln yang terbukti berjaya membantu mereka.

Pengarah Serantau Hays Plc di Malaysia, Tom Osbourne berkata, hasil kajian itu menunjukkan bahawa adalah penting bagi majikan mempunyai strategi menarik dalam mencari pekerja baharu dengan penekanan kepada teknik pengambilan pekerjaan secara dalam talian.

Katanya, kajian juga menunjukkan bahawa rujukan mulut ke mulut turut memainkan peranan penting dalam membantu seseorng individu mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, ujar beliau, andaian bahawa semua pencari kerja telah beralih ke dalam talian atau media sosial berbanding kaedah tradisional, tidak dapat dibuktikan menerusi kaji selidik yang dijalankan.

Malaysia memiliki penduduk mahir internet dan teknologi yang tinggin dengan menyaksikan pelbagi aktiviti dalam talian termasuk membeli-belah dan urusan perbankan. Oleh itu, bukanlah perkara luar biasa bahawa pencarian dalam talian merupakan kaedah paling berjaya untuk mencari pekerjaan.

Monday, 27 June 2016

Gaharu lebih mahal daripada emas

Gaharu sangat sinonim sebagai pati minyak yang bernilai tinggi. Kini industri gaharu semakin berkembang dengan adanya pelbagai produk berasaskan tumbuhan tersebut.

Bermula daripada produk penjagaan diri hingga produk minuman serta barangan perhiasan dan cenderahati, industri gaharu sememangnya sedang melalui proses inovasi yang mampu pergi lebih jauh.

Pelabagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta, syarikat tempatan serta antarabangsa kini semakin giat membangunkan produk gaharu secara bersepadu.

Tidak terkecuali, syarikatMalaysia iaitu Aseagate (M) Sdn Bhd dan Richwood Capital Sdn Bhd (RWC) yang bertindak sebagai pemain utama industri gaharu apabila menjalankan usaha sama bernilai jutaan ringgit di Laos.

Sebagai sebuah syarikat yang berkepakaran dalam pengurusan perniagaan pertanian dan pengurusan perhutanan, Aseagate bersama-sama RWC memain peranan dalam pengurusan, inokulasi dan bekalan gaharu di negara Laos.

Gaharu adalah salah satu sumber alam bernilai kerana ia lebih mahal daripada emas dengan harga runcit antara kira-kira RM22 000 hingga RM40 000 sekilogram.

Monday, 20 June 2016

Memahami tugas bapa sudah mencukupi

Seorang ayah kepada seorang anak atau lebih dan dipanggil oleh si anak dengan berbagai panggilan terutama papa, dedi, abah atau apa-apa sahaja panggilan lain - itu tanda hormat anak-anak, malah isteri beliau.

Kaum bapa tidak mengharapkan penghargaan atau hadiah, cukup kalau isteri dan anak-anak memahami tugas dan tanggungjawabnya kepada keluarga dan tunjukkan rasa hormat kepada bapa. Itu sahaja sudah mencukupi.

Banyak orang kata bapa adalah antara individu paling penting dalam kehidupan keluarga. Selepas ibu, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab membesarkan dan mencorakkan kehidupan awal kita.

Mencorakkan isteri dan anak-anak di dalam keluarga merupakan tugas seorang bapa yang bertanggungjawab untuk memastikan keluarga tersebut secukup makanan, pakaian dan tempat tinggal. Di samping memastikan keselamatan, kehormatan dan keperluan pendidikan seterusnya membimbing keluarga dalam kesempurnaan hidup bermasyarakat mengikut kehendak syariat.

Bapa adalah guru disiplin di rumah yang aman dan damai kepada si anak...

JELMAAN MANUSIA RAKUS

Masyarakat kita makin meminggirkan kehidupan mulia bertunjang akal budi demi mengejar kemewahan di era melinium abad ke 21 ini.

Lumrah kedengaran di sana-sini, anak-anak Melayu bermasalah dalam segenap segi terutama melibatkan hubungan dengan ibu bapa, adik beradik, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

Ikatan kekeluargaan sudah longgar dan tali persaudaraan tidak lagi dianggap penting. Kita semakin cenderung menyelesaikan masalah bukan menerusi perantaraan ahli keluarga dan sahabat handai dalam suasana kekeluargaan dan ukhwah.

Malah, semangat ukhwah dan silaturrahim Islam semakin diketepikan. Samada adik beradik, saudara dan rakan, semuanya memilih untuk mengambil tindakan mahkamah.

Suatu ketika masyarakat Melayu hairan dan pelik melihat orang lain menyaman sesama sendiri biarpun memiliki pertalian darah dan keturunan. akini kita melakukan perkara yang sama. Apakah ini petanda Melayu sebagai Muslim semakin kehilangan jati diri keMelayuan dan Islamnya sama seperti umat lain.

Nilai, akhlak dan ukhwah tidak seteguh dulu dan tidak lagi diutamakan. Jika ini berlanjutan, apakah ia mencerminkan kemerosotan nilai hidup berkeluarga dan bermasyarakat yang diutamakan dan dimuliakan selama ini mengikut warisan budaya bangsa serta nilai pegangan agama? Apakah institusi keluarga tidak lagi penting berbanding pemburuan kekayaan, kesenangan dan kemewahan hidup.

Paling bahaya apabila masyarakat semakin berleluasa memburu kepentingan peribadi dan individu hingga sanggup berbuat apa sja. Kalau institusi lain dalam keluarga pun sanggup dimusnahkan, apa lagi institusi yang membulatkan masyarakat, bangsa dan negara termasuk adat, agama dan undang-undang tidak lagi dipandang penting. Segala yang menyumbang kepada keutuhan dan keteguhan masyarakat akan dianggap sebagai sekatan dan halangan kepada cita-cita besar peribadi yang lebih diutamakan.

Sekiranya diperhatikan, sebahagian besar kes saman menyaman yang memusnahkan keluarga membabitkan perebutan ke atas hak milik, rumah dan harta termasuk harta pusaka orang yang meninggal dunia. Namun, ada kes yang melibatkan harta yang belum menjadi pusaka kerana bapanya masih hidup dan rumah serta tanah seolah-olah telah dirampas dan disaman anak sendiri.

Warga Malaysia dan bangsa melayu khasnya seolah-olah menciplak tren yang menjadi ciri kehidupan masyarakat moden, terutama di Barat. Sebelum menikmati pembangunan, misalnya, masyarakat Melayu rata-rata merasai keistimewaan hidup bermasyarakat, sekalipun kehidupan ketika itu tidak semewah hari ini. Pegangan teguh kepada nilai hidup bermasyarakat yang mengutamakan perhubungan mesra dan keindahan budaya hormat menghormati dan saling bantu membantu telah memberi makna dan nilai tinggi.

Sekalipun terdapat konflik, semangat ukhwah dan pegangan kuat kepada hidup berakhlak mulia akan mengelak retak membelahkan perpaduan dan kebulatan masyarakat keseluruhannya. Perasaan malu, pertimbangan ke atas harga diri dan pertimbangan menjaga nama baik keluarga dan kampung akan mengelakkan ramai daripada melakukan sesuatu yang dianggap curang atau dilarang. Namun, suasana seperti ini sudah hampir tiada lagi.

Sunday, 19 June 2016

Menjelang Sambutan Jubli Emas FL

Hari ini, Isnin 20 Jun 2016 bersamaaan 15 Ramadan 1437 H.

Lagi 3 minggu atau 19 hari sebelum Felda Lasah menjadi medan pertempuran atau perjumpaan semula anak-anak felda dari seluruh pelusuk dan ceruk rantau kembali bersatu.

Di Felda Lasah, tentunya lokasi mendirikan khemahnya terletak di satu kawasan yang khas semata-mata menyambut kehadiran tetamu khas yang memenuhi ruang atas pentas utama termasuk AJK-AJK sambutan yang telah bertungkus-lumus memerah keringat mencari idea sejak 5 tahun yang lalu.

Kemungkinan juga, beberapa cadangan wakil peneroka gabungan 4 peringkat rancangan digabungkan bersama idea wakil generasi kedua yang telah berjaya di persada serta idea oleh wakil perantau yang kembali dari luar negara.

Akhirnya, tercatatlah di dalam lipatan sejarah yang akan dimasukkan ke dalam akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan felda bahawa Felda Lasah telah berjaya menggamit seramai 5000 keturunannya kembali sambut hari Jubli Emasnya secara meriah dan besar-besaran.

Keluarga 89B dari Jalan Melati akan membawa semua keluarga kami anggaran 30 orang dari Rawang, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mengadakan majlis tahlil arwah ayah pada hari tersebut, sekaligus menghadiri sambutan JE di sana nanti.

Pertemuan semula rakan dan jiran lama yang terpisah mengingatkan kembali bagaimana kehadiran kita pada saat ketibaan membuka pintu rumah kayu yang tidak berkunci antara tahun-tahun awal perpindahan dari kampung halaman tempohari. Dengan tingkap kayu di depan dan belakang tanpa langsir, kita boleh melihat dengan jelas ketibaan jiran satu persatu membawa beberapa beg galas dan keperluan alatan untuk mencuba nasib menempuh alam baru bersama keluarga baru di sini.

Laman kita tanpa pokok dan hanya ditumbuhi lalang serta tiada bekalan air dan api di dalam rumah. Hanya sebuah rumah kayu dengan 1 bilik tanpa pintu dan ada satu ruang depan dan ruang dapur. Ianya boleh memuatkan seramai 4 orang iaitu seorang bapa sebagai ketua keluarga, seorang ibu dan dua anak yang masih usia 7 tahun dan 5 tahun.

Saya ketika itu di dalam darjah 1, lalu memasuki Sekolah Kebangsaan RLKT Lasah yang terletak bersebelahan Pejabat Felda, rumah kakitangan Felda dan Masjid serta deretan kedai runcit.

Kini, suatu perkampungan yang tersusun rapi dengan segala kemudahan. Perubahan ketara kepada rumah penduduknya yang rata-rata diubahsuai ada yang menjadi banglo, rumah batu dan ada yang kekal kayu tetapi dihias serta dicatkan warna kesukaan. Keliling rumahnya dipenuhi oleh tumbuhan terdiri pelbagai spesis buahan, herba dan bungaan memeriahkan lagi suasana perkampungan yang indah dan damai ini.

Jika dahulu stor getah menjadi laluan kami untuk keluar masuk ke Jalan Melati samada untuk urusan ke kebun atau ke pekan Sungai Siput sambil menanti bas. Teringat lagi bau getah yang menusuk hidung tetapi kini tapak stor getah telah didirikan pusat internet desa bagi mencelikkan warga di sini untuk membuat kerja sekolah atau bermain komputer.

Apakah akan ada lagi perubahan ketara di Felda Lasah selepas kehadiran Menteri Besar Perak di Festival Jubli Emas nanti...

Saturday, 18 June 2016

Mengurus Harta Pusaka di Felda

Mengikut istilah, Ilmu Faraid ialah ilmu yang berkaitan dengan kaedah fikah dan matematik. Malalui kaedah ini, dapat diketahui hak setiap waris pada harta peninggalan si mati.

ilmu faraid mengandungi pelbagai kaedah atau formula dan pengiraan. Ilmu ini pula terbentuk daripada kombinasi tiga ilmu iaitu:

     - Ilmu Nasab

     - Ilmu Fatwa

     - Ilmu Matematik

Ilmu Nasab ialah ilmu berkaitan keturunan si mati yang merangkumi:

     - Keturunan ke atas iaitu ibu, bapa, nenek dan datuk

     - Keturunan ke bawah iaitu anak, cucu dan seterusnya

     - Keturunan sisi iaitu saudara seibu sebapa, saudara sebapa dan saudara seibu serta keturunan mereka

     - Keturunan sisi kepada bapa si mati iaitu bapa saudara dan keturunannya

     - Keturunan sisi kepada datuk si mati iaitu datuk saudara dan keturunannya

Nasab bererti darah daging atau keturunan hakiki. Oleh itu, anak angkat, anak tiri, anak susuan dan anak tidak sah taraf tidak mewarisi harta pusaka kerana mereka bukan daripada darah daging si mati.

Faraid memerlukan kajian yang teliti terhadap bentuk kes yang wujud, baik dari seg ahli waris yang berhak dan harta yang boleh difaraidkan, sebelum pembahagian pusaka dapat dilaksanakan. Bilangan kes yang perlu dipertimbangkan mungkin besar. Banyak petua dan syarat yang perlu dipatuhi, Oleh itu perlu ditegaskan bahawa satu penyiasatan yang rapi perlu dilakukan supaya ralat atau kesilapan dapat dihindari.

Ramai di kalangan kita yang salah faham tentang konsep faraid. Sebenarnya harus difahami bahawa faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian.

Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris.

Salah tanggapan ini menyebabkan banyak kes yang berlaku yang mana satu harta dikongsi oleh ramai waris yang tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi.

Keadaan ini menyebabkan nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana para waris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut.

Meneliti dan Melintasi Jambatan

Menyelusuri sungai dan denai, mengharungi arus deras dan menggunakan kudrat untuk merentasi bukit bukau dan gunung ganang malah melintasi jambatan gantung yang usang memeritkan pemikiran yang semakin uzur ini...

Semakin jauh berjalan, keletihan yang ditinggalkan memberi bekas-bekas rintiknya peluh membasahi dahi, baju usang dan lusuh menempuh panas mentari serta hujan mencurah...

Tiga hari lepas Hari Raya 1436 H yang lalu, kembalinya ke rahmatullah ayahandaku. Meninggalkan segala-galanya, ketika anak-anak sudah punyai keupayaan menyara diri dan keluarga malah mempunyai ramai cucu-cucu dan ada yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

Menjelang Syawal 1437 H nanti, doa selamat pada Hari Raya keempat diadakan oleh emak sebagai mengingati kembalinya arwah ayah sepurnama.

Ketika tempoh itu, sepurnamalah aku yang mengambil alih Ketua Keluarga ingin menyempurnakan hasrat ayah untuk menguruskan keluarga yang ditinggalkannya...berbekalkan pengalaman menguruskan pasukan ketika berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pemerintah dan Ketua Terup di mana-mana unit RAJD di seluruh negara, tidak mungkin mengurus keluarga kecil ini menjadi halangan bagiku.

Selama setahun ini juga, aku berhasrat mencari beberapa ilmu menguruskan tanah felda kerana aku diberi amanah semasa menghadiri taklimat oleh Pengurus Felda Lasah semasa menanda-tangani borang tanam semula kelapa sawit tempohari.

Di samping menambah ilmu syariat dalam bidang faraid kerana ilmu ini suatu yang jarang sekali dijumpai ada tenaga pengajar sukarelanya...puas mencari dan bertanyakan kepada orang agama serta jiran tetangga akhirnya kini mendapat kefahaman yang jelas.

Untuk anak felda generasi kedua, carilah ilmu ini kerana suruhan Allah Taala menghendaki kita melaksanakannya samada suka atau tidak, kita perlu kepada jalan yang telah ditunjukkan. Ikutilah jalan yang lurus ini kelak kita semua peroleh manfaatnya.

Sebagai anak sulung, aku ingin manfaatkan segala ilmu yang ada dalam menguruskan hala tuju keluarga yang ditinggalkan dengan harta yang boleh dimanfaatkan bagi kami dan warisan seterusnya. Kerajaan terdahulu berhasrat membasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu, keluarga ini telah keluar dari kepompong tersebut dan tidak mustahil ianya bakal menjadi miskin andainya tiada persiapan awal diambil untuk mengatasinya.

Kematian: Hj Ralib bin Hj Abu Bakar
Tarikh Kematian: 19 Julai 2015 ketika berusia 79 tahun
Tarikh Masuk Felda: 1 Julai 1968
Waris: Seorang Isteri dan 5 Anak Lelaki & 2 Anak Perempuan

1. Fardu - Isteri ; 1/8
2. Asobah - Anak Lelaki : Anak perempuan - 2:1

Sekatan Pemilikan ke atas tanah oleh undang-undang di bawah Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen telah meluluskan satu akta yang dinamakan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960 (GSA). Tanah yang terlibat dengan akta ini ialah tanah-tanah Rancangan FELDA, FELCRA dan Rancangan Tanah Pinggir.

Masalah yang berbangkit daripada akta ini ialah peruntukan Seksyen 14, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960 (Pindaan) 2002 yang tidak membenarkan tanah-tanah tersebut di miliki oleh lebih daripada dua orang pemilik.

Mengikut Hukum Faraid, setiap harta seseorang yang mati adalah menjadi harta pusaka. Demikian juga harta seorang peneroka FELDA yang meninggal dunia. Walaupun hak waris-waris tidak dinafikan untuk mewarisi tanah rancangan tersebut, undang-undang GSA menegah daripada nama-nama waris didaftarkan di dalam hakmilik tanah kecuali dua nama sahaj. Apa yang berlaku dalam pembahagian tanah GSA ketika ini, sekiranya si mati meninggalkan seorang isteri dan 7 orang anak: 5 lelaki dan 2 perempuan dan mereka menuntut bahagian masing-masing mengikut Hukum Faraid, pegawai Unit Pembahagian Pusaka selaku Pentadbir Tanah akan melantik sekurang-kurangnya seorang pentadbir untuk didaftarkan di dalam geran tanah. Tugas pentadbir ialah menguruskan ladang dan membahagikan hasilnya kepada waris-waris mengikut faraid atau sebagaimana dipersetujui oleh waris-waris. Mengikut Hukum Faraid bahagian waris-waris seperti berikut:

     : Isteri - 7/56
     : Anak Lelaki - 16/56
     : Anak Perempuan - 8/56

Sekiranya, diandaikan hasil yang diperolehi daripada penjualan buah kelapa sawit sebanyak RM1000 sebulan, masing-masing akan memperolehi bahagian seperti pengiraan di atas.

Masa berlalu dan berlaku kematian kepada anak lelaki pertama yang meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak, 1 lelaki dan 2 perempuan. Generasi ketiga ini juga berhak mewarisi harta bapa mereka mengikut kaedah Munasakhat pula.

Antara Hukum Syarak berkaitan, beberapa kaedah boleh digunakan, antaranya: Hukum faraid, Hukum Wasiat, Hukum Hibah, Harta Sepencarian dan Sah Taraf Anak/ Anak Angkat.

Berdasarkan kepada undang-undang yang berkaitan dengan urusan pembahagian harta pusaka orang Islam seperti tersenarai, dapatlah disimpulkan bahawa urusan pembahagian harta pusaka adalah kombinasi daripada undang-undang sivil dan undang-undang/ hukum syarak. Pembahagian harta pusaka orang Islam sebenarnya merupakan perkongsian bidang kuasa antara Pentadbir Tanah dan Mahkamah Sivil di satu pihak dan Mahkamah Syariah di satu pihak lagi.

Langkah Demi Langkah

Langkah I:   Membuat faraid di Pejabat Agama

Langkah II:  Membuat perbicaraan di Pejabat Tanah

Langkah III: Membuat persetujuan di Pejabat Felda

Langkah IV: Membuat persetujuan sesama adik-
beradik

Sebenarnya, Ilmu Faraid tidak susah. Asasnya boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya. Cuma, apabila kita sampai ke tahap yang lebih mendalam, barulah kita dapati perkara yang berkaitan dengan faraid agak sukar diselesaikan. Untuk kes-kes biasa, apabila si mati meninggalkan waris-waris utama, iaitu suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak, tidaklah sukar. Kedua-dua ayat al;Quran, ayat 11 dan ayat 12 Surah An-Nisa dapat dijadikan panduan.

Friday, 17 June 2016

Teringat Rakan Sebaya

Umur kami sama, lahir awal dan pertengahan serta hujung tahun 1961. Kemudiannya, selepas 40 tahun berkelana mengharungi lautan kehidupan di alam pekerjaan maka ditemukan semula melalui Grup 61 yang diuruskan oleh Saudara Mior Kamaruzaman dan Mior Raduan di Felda Lasah.

Antara aktivitinya ialah menyatukan kembali dan pertautan kisah silam alam persekolahan ketika dalam darjah 1 hingga darjah 6. Tidak terkecuali mengadakan perjumpaan semula dengan bekas Guru Besar dan guru-guru lama yang masih ada di dunia ini. Momentum semasa kecil mengimbau keikhlasan berkawan membuat kawan lama bertaut semula. Indahnya memoir tersebut terserlah apabila hampir sepuluh siri perjumpaan yang diadakan oleh grup-grup ini samada secara beramai-ramai atau kumpulan kecil.

Walaupun umur sama tetapi kemahiran dan kepandaian tidak sama kerana ada yang berpangkat tinggi, pertengahan dan sederhana penghidupannya. Masing-masing membawa haluan selepas darjah 6 mengikut minat dan kelulusannya untuk mencari ilmu dan pengalaman. Mengingat kembali rakan sebaya menguatkan ingatan kami untuk menghidupkan kemesraan apabila ada kalangannya yang sudah beranak cucu dan ada yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan serta pelbagai aktiviti lain. Adalah menjadi hasrat di kalangan kami untuk membuat sesi perjumpaan semula di majlis itu dan bolehlah meluangkan masa yang ada bagi mengetahui situasi mereka secara lebih dekat lagi.

Tahun ini, dikalangan kami telah memasuki usia 55 tahun. Kematangan usia mampu menjadi asas kepada kepemimpinan kami membimbing grup ini ke arah lebih berketrampilan menuju Wawasan 2020 nanti.

Bukakanlah hati-hati rakan kami yang berjaya dan sudah menjadi tokoh kepada negara untuk memerhatikan kisah dan kehidupan rakan serta anak buah di Felda Lasah yang terlantar, miskin dan kurang upaya...serta pelbagai tanggungan agar mereka sama-sama dapat harungi kehidupan selesa seusia mereka.

Tidak semuanya beroleh apa yang dicita, ada kalanya terbantut di tengah jalan dan ada yang tersangkut seawal memasuki alam pekerjaan...bersyukurlah kepada rakan yang berjaya mengharungi kehidupan dengan kejayaan namun akhirnya usia ini mematangkan kita agar muhasabah diri dan kembali tunduk kepada kehendak Ilahi. Kita bakal kembali dan baki usia yang ada eloklah kita berbakti kepada keluarga sendiri, adik beradik kita, saudara mara jauh dan dekat, jiran tetangga, sahabat karib dan sahabat G61 serta masyarakat kita.

Berkemungkinan semasa Jubli Emas Felda Lasah, ada lagi foto kenangan terbaru yang akan tersiar di dalam Utusan Malaysia.

Rakan sebaya membawa berkat andainya kita muafakat dalam bicara, dalam budi dan dalam hasrat...




Tuesday, 14 June 2016

Mencari Damai di MALAYSIA

Kepemimpinan negara kini di bawah teraju Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri; Menteri Pertahanannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATMnya pula ialah Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Kemajuan yang dicapai oleh ATM di dalam persiapan menghadapi musuh negara malah kesiapsiagaan mempertahankan ancaman dalam dan luar amat membanggakan. Ini terbukti apabila Pangkalan laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) dan Pangkalan Laut Tun Azizan (PLTAZ) yang beroperasi sekitar Laut Sulu perairan timur Sabah adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Ia merupakan dua buah pangkalan tentera di tengah laut yang mampu memberi bantuan kemudahan kepada operasi ketenteraan dalam perairan negara. PLTSR asalnya adalah daripada pelantar minyak milik Petronas yang sudah tidak digunakan lagi dan diubah suai sementara PLTAZ pula ialah sebuah kapal kargo yang diubah suai supaya memenuhi spesifikasi pangkalan laut bergerak.

Strategi cegah rintah adalah kaedah utama yang diamalkan apabila PLTSR dan PLTAZ dibangunkan dan maklumat risikan adalah salah satu faktor kritikal yang dapat menjayakan apa yang dirancang dalammencegah sesuatu perkara. Kaedah terbaik mendapat maklumat risikan adalah berada di kawasan sasaran. Tetapi oleh kerana kawasan tersebut adalah milik Filipina maka kaedah PLTSR dan PLTAZ yang boleh berada dekat dengan kawasan sensitif itu dianggap strategi terbaik.

Thursday, 9 June 2016

berbuka puasa Ramadhan 1437H

telah empat hari berlalu Ramadan, kami berjaya mengharunginya dengan memasak sendiri tanpa menjengah basar ramadan...hidangan bubur pulut hitam, kueh gulung, pisang goreng,...terlupa dah berikutnya...

Ke bazar ramadhan pada hari ke-8, di Tmn Tun Teja membawa kepada kemudharatan perut...beli mi rebus tapi kuahnya seakan kehijauan seperti lumut...entahlah.

Hari ke-9, membantu hidang iftar ramadhan di Masjid Batu 16 Rawang menyaksikan hidangan berbuka beberapa ketul kuih dan beberapa kombinasi air tarikan tengkuk yang pelbagai warna...

Hari ke-10, kembali memasak mi goreng yang dibelikan oleh Datuk Razali sewaktu berbelanja di Az Zain Wangsa Maju...

Petang nanti, belum lagi berkira-kira...

Jubli Emas FELDA LASAH

Felda Lasah merupakan penempatan rakyat Malaysia luar bandar yang berpendapatan rendah. Biasanya, peneroka ini bekerja di kampung yang menyara diri sebagai penoreh getah, pesawah padi dan bekas askar wataniah. Kebanyakannya sudah berumah tangga dan masih sihat ketika memohon memasuki peneroka rancangan tersebut.

Ianya terletak di dalam Hutan Simpan Lasah yang boleh dimasuki melalui pekan kecil Sungai Siput. Kini, simpang memasuki Felda Lasah telah ada bangunan Hospital Sungai Siput bagi kemudahan rawatan pesakit yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk sekitar.

Sekitar tahun 1964, Felda Lasah mula diterokai oleh pihak pengurusannya dengan menebang-tebas kawasan penempatan dan tapak ladang. Secara beransur-ansur, peneroka di bawa masuk sebagai pekerja sementara bagi mempercepatkan kerja penanaman anak benih getah dan sebagainya.

Antara tujuan utama menempatkan peneroka di kawasan pendalaman adalah menghapuskan aktiviti kegiatan komunis sekitar Banjaran Titiwangsa terutama laluan Lasah ke Grik.

Setelah memasuki usia 50 tahun, Felda Lasah menempuh era kejayaan di dalam pelbagai bidang antaranya peralihan komoditi getah kepada kelapa sawit. Begitu juga, kejayaan anak peneroka bagi generasi kedua di dalam kerjaya dan kejayaan luar biasa dalam akademik serta keusahawanan.

Tidak lupa kepada generasi pertama peneroka dari Peringkat A yang tabah dan bekerja keras melaksanakan tugas membangunkan penempatan tersebut. Keyakinan dan ketabahan mereka telah membuka mata pelapis kedua dan ketiga bagi menduduki kawasan felda yang serba baru dan asing bagi keluarga yang merantau dari kampung asal mereka.

Kini, ramai dari kalangan mereka telah kembali ke rahmatullah dan beberapa antara mereka masih ada sekitar 20 peratus untuk dicungkil pengalaman pertama mereka menjejaki tanah ini. Ketahanan mental dan kekuatan fizikal mereka telah membantu perkembangan dan kemajuan tanah bertuah tersebut sehingga berjaya melaksanakan impian generasi kedua dan ketiga menempuh kehidupan di luar rancangan.

Dengan jumlah penduduknya melebihi 3500 orang, dijangkakan Sambutan Jubli Emas nanti lebih meriah dengan kembalinya anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit memenuhi ruang rumah dan tapak festival bersempena musim Hari Raya Aidil Fitri 1437 Hijrah.

Dengan adanya grup Jubli Emas Felda Lasah, lebih cepat dan pantas ikatan silaturrahim terjalin dan maklumat festival dapat di sampaikan secara tepat dan teratur.

Tuesday, 24 May 2016

BERSYUKUR

Bersyukur ini adalah pengikat segala nikmat, kalau tidak bersyukur akan hilang nikmat itu.

Jadi kita bimbang takut-takut ada kalangan masyarakat kita ini tidak tahu bersyukur, apabila kita tidak tahu bersyukur maka Tuhan akan tarik nikmat itu.


Kita bersyukur kerana berada di dalam sebuah negara yang mengamalkan ajaran Islam dengan adanya kemerdekaan dari belenggu penjajah atau petaka kuku besi.

Kita berada di dalam negara yang ada seorang pemimpin mengetahui denyut nadi masyarakat bagi membawa rakyat majmuk negara ini ke arah negara maju.

Di negara yang sering kecoh, pemimpinnya mementingkan diri sendiri dan menuju ke arah kehancuran sebuah negara serta rakyatnya menjadi pelarian.

Belum terdengar lagi, rakyat Malaysia menagih simpati makanan dan minuman serta tempat tidur.

Kita boleh ke mana sahaja terutama menghadiri festival, pameran antarabangsa, kenduri dan sambutan hari ulangtahun hampir setiap tahun samada oleh individu atau berkumpulan.

Bersyukurlah anak watan demi negara yang sekecil ini agar dapat dijaga maruahnya untuk tatapan anak cucu kita di masa depan.

MALAYSIA

Rupa-rupanya nama Malaysia sudah wujud sejak abad ke-19, setepatnya 1889 dan bukan pada 1929. Penggunaan nama Malaysia itu ditulis dalam The British North Borneo Herald 

Tuesday, 10 May 2016

11 Mei 2016


Subuh tadi hujan lebat sejak jam 3.30 pagi, terjaga dari tidur.

Hari ini, roadtax CCP tamat dan ...

Semalam, RM125 dapat dp En Wahid.

Baki wang dlm bank, RM 450 dan tunai dalam dompet RM250

Hari Sabtu ini, anak Pakcik Man di KK bersanding...pegi ke idak

Sambutan Hari UMNO ditunda ke hari Khamis...

Jam 0600, Hj Ibrahim dari Jalan Nikmat meninggal...

UMNO - tercetusnya parti PEKEMBAR bermula 11 Mei 1946 akibat promosi Malayan Union di Tanah Melayu ketika itu.

Hari ini, UMNO telah menjangkau usia ke 70 tahun dan bersedia untuk meneruskan legasi seandainya orang Melayu masih waras untuk melihat negara yang indah dan aman ini terus bergerak dari satu generasi ke generasi.

Parti orang Melayu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan tetapi UMNO masih kukuh dan menjadi payung keramat untuk orang Melayu.

Pelbagai cabaran UMNO untuk menyegarkan perasaan orang Melayu agar terus relevan sebagai wadah perjuangan untuk menaikkan martabat dan syiar Islam supaya orang-orang Cina dan India dapat bersama memajukan ekonomi dan sekaligus kehidupan di negara ini dapat berfungsi dengan baik.

Kerjasama antara kaum amat penting ketika era millinium ini kerana kepadatan penduduk makin bertambah dan kehendak serta keperluan kepada makanan, kenderaan dan kediaman saling berkait. Hanya keamanan dan keharmonian di kalangan penduduk di seluruh pelusuk negara akan menjamin keutuhan negara ini.

Malaysia uniknya kerana adanya demokrasi yang telah di pupuk sejak sebelum merdeka. ketika itu, pembentukan kerangka kerajaan berjalan secara kecil-kecilan dan kini berkembang akibat perkembangan suasana dan geografinya yang sentiasa berkembang dan berubah mengikut zaman.

UMNO mendominasi kebanyakan negeri kecuali Kelantan (PAS), Selangor (PKR) dan Pulau Pinang (DAP).

Kini, UMNO sedang bergiat aktif untuk merampas kembali negeri-negeri yang dikuasai 3 parti berbeza tersebut dan kegiatan mereka dilihat tidak sehaluan.

Perlawanan sihat pendemokrasian di Malaysia, menarik minat generasi kini untuk bergiat dalam politik secara alam maya menerusi telefon pintar dan media sosial lain bagi merancakkan lagi suasana yang sudah tentu menjadi tidak tentu hala kini.

Kewajaran kerjasama antara UMNO-PAS, jauh panggang dari api seperti yang pernah di cetuskan oleh orang ramai dan dibantah oleh pucuk kepimpinana PAS yang semakin terhimpit untuk menghadapi PRU ke 14 sekitar tahun 2017 nanti.

UMNO semakin kukuh dengan pakatan kerjasama 13 parti pelbagai kaum dan suku kaum manakala PAS hanya bersama IKATAN, PKR bersama PAS/DAP serta DAP bersama PKR/PAN.

...hingga bertemu 11 Mei 2017, cukup hanya di sini.

UMNO 70 Tahun

Rabu, 11 Mei 2016 - hari ini merupakan sejarah kebangkitan UMNO yang telah mengalami pelbagai dugaan dan cabaran yang melanda sejarah negara bermula Yang DiPertuanya yang pertama, Dato Onn Jaafar sehingga kini diterajui oleh Presiden UMNO iaitu Dato Sri Najib Tun Hj Abdul Razak.

Kepimpinan UMNO menerajui negara mencapai tahap masa kini merupakan wadah perjuangan yang panjang dan sepanjang tempoh 70 tahun adalah sesuatu yang unik dan menakjubkan pemimpin negara asing. Se usia itu, UMNO telah matang dan mampu menguasai turun-naik suhu kepelbagaian kerenah parti-parti politik yang menerajui arus perdana.

Kepelbagaian suasana parti dan masyarakat majmuk yang menjadi teras kehidupan di Malaysia merupakan resipi yang harus diadunkan dengan sebati oleh kepimpinan UMNO yang menjadi teras kekuatan negara. Tanpa UMNO yang diterajui oleh orang Melayu maka akan pincanglah pentadbiran negara. Oleh itu, orang Melayu yang beragama Islam seharusnya meneliti arah tuju negara agar memahami situasi rakyat yang mahukan keamanan, kestabilan dan keharmonian sepanjang zaman.

Negara ini, mengalami pelbagai saat runcing terutama semasa dikuasai oleh penjajah, pengganas dan penjenayah dari masa ke semasa tanpa jemu kerana negara ini merupakan sebuah semenanjung yang strategik dari pelbagai sudut geografinya. Ancaman dalaman dan luaran dapat diatasi sekiranya rakyatnya bersatu teguh dan memahami aspirasi kerajaan yang memerintah ketika susah dan senang keadaan ekonomi negara. Keutuhan negara di dalam mencapai kemajuan akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda sama ada di dalam sektor awam dan swasta.

Saban tahun, generasi muda yang tampil bergaya selepas graduasi inginkan pekerjaan yang mampu memberi keinginan mereka dan yang menghabiskan pelajaran menengahnya pula inginkan cepat memegang wang ringgit bagi kelangsungan hidup. Ini semua adalah manifestasi dari suasana iklim dunia yang sofistikated dan capaian media sosial yang melanda negara mengubah iklim gaya generasi terkini.

Kestabilan politik negara diterjemahkan melalui kemewahan rakyatnya berbelanja dan bebas bersosial. Tanpa mengira warna kulit yang mendiami segenap pelusuk negara, orang Melayu tidak gelabah mengejar harta benda kerana kita telah merdeka dari sebarang penjajahan dan mampu meraih kehendak apa yang dicita. Kepimpinan negara sejak dahulu hingga kini telah berusaha gigih memikirkan kehendak rakyatnya dan sudahpun melaksanakan hasrat rakyat melalui GTP dan ETP serta GST yang telah menstabilkan negara dari terjerumus ke kancah kemelesetan ekonomi berpanjangan.

Alhamdulillah, seperti El Nino yang melanda sejak Januari 2016 lalu hingga kini keadaan kembali stabil tanpa ada sekatan bekalan air di Selangor. Hujan yang mencurah sejak seminggu lalu memberi seribu rahmat kepada semua warga negara dan hidupan yang ujud di dalamnya.

Tuesday, 3 May 2016

Suka Duka Veteran RAJD

63 TAHUN USIA RAJD

Menjelang Jubli Intan RAJD pada tahun 2028, dapat dibayangkan betapa maju dan hebatnya perayaan tersebut.

RAJD bermulanya di Baklava Line dan pada tahun 1978 ianya menyambut Jubli Perak. Tidak dapat maklumat kerana tak terfikir akan hal itu dan siapa pula Ketua Jurutera. Berkemungkinan Kol Sukdev Singh atau Brig Jen Chen Kwee Fong...yang pasti Kol YDP RAJ adalah Sultan Idris Shah.

Ketika Jubli Emas, Ketua Jurutera diketuai oleh Brig Jen Dato Jamil Tahir dan Kol YDP RAJD adalah Sultan Azlan Shah.

Menjelang 2028, berkemungkinan Sultan Nazrin Shah selaku Kol YDP RAJD dan orang baru sebagai Ketua Jurutera.

Sunday, 1 May 2016

HUT RAJD 63

Kem Sangro terpilih sempena julung kalinya Sultan Nazrin Shah selaku Kol Yang DiPertua RAJD berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Perbarisan DiRaja dengan dihadiri detechmen pelbagai skuadron termasuk pesara RAJD.

Sebagai pesara RAJD, aku masih belum berpeluang menghadiri perayaan tersebut kerana tiada yang menjemput kecuali di awal persaraan tempohari kerana sudah menjadi adat orang Melayu...dekat di mata dan dihati jangan.

Selepas bersara sejak 1 Januari 2004, terasa jauh hati untuk kembali ke mana-mana lokasi sambutan. Apa tidaknya, pihak atasan RAJD belum merencanakan persiapan awal bagi menggalakkan silaturahim berpanjangan sesama anggota dan pesara. Kecuali, semasa Dato Hashim Abu sewaktu sambutan Jubli Emas RAJD, beliau merencanakan strategi 5 tahun untuk persiapan sebelum tiba masanya. Sekaligus, aku dapat mengikuti setiap langkah demi langkah sehingga tarikh kejadian terlibat sama kerana ianya berlaku di Kem Sangro ketika aku jadi 2IC di  Skn RAJD.

yang lepas dah berlalu, aku bercita-cita untuk hadir tetapi pada usia 55 tahun aku terlepas peluang untuk berjumpa seramai mungkin rakan setugas. Jika tiada aral melintang, boleh juga aku menjengahnya samaada di Kem Mahkota atau di mana saja...

1 Mei 2016

...cuti Hari Pekerja pada tahun ini, aku berada di Rawang.

jam 0900 menghantar isteri mengikut Kumpulan Marhaban Al Falah ke rumah sahabatnya di Kg Sepakat dan aku ke Restoren Al Iman untuk minum pagi bersama jiran sekampung, En Syed Yusof dan SM Ahmad.

jam 1000 singgah Masjid Al Batu 16 untuk gotong-royong 1.0 bersama rakan sekampung membersihkan kolam wuduk, sisa pepejal konkrit lama dan membersih akar lalang.

jam 1100 terjumpa lori kertas lama lalu menjual akhbar lama seberat 2000 kg, dapatlah RM50.

...ada majlis doa selamat di rumah Hj Fadil, jiran setempat ramai berkunjung tetapi kami ada tetamu di rumah...Usin juga tiba kerana emaknya keluar berbelanja di KL.

Tengahari td, kami dimasakkan spaghetti oleh si Zulaiha. Sambil aku pula menyiapkan projek menghias belakang rumah dan Ina mengemas dapur.

Malamnya, Usin balik rumah dan Kak Yam bagi elaun lebih masa RM30 pada Ina dan aku dapat duit belanja RM60.

Semalam, Anwar terbang ke KK semula selepas 10 hari ikuti kursus kerjaya JSJ di Maktab PDRM KL.

Sebelum itu, Jumaat malamnya kami berfoto keluarga termasuk si Usin...meriah rumah dengan gelagatnya yang ceria dan aktif.

10 April lepas, kami bersama keluarga mengadun majlis resepsi Ain di Dewan Serbaguna Kg Melayu dan sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran saudara-mara dari jauh dan dekat, mengadakan majlis Khatam Quran serta BBQ secara gotong-royong...