15 November 2016, jam 1045 malam di Hospital Ipoh...pengakhiran hayat beliau di sisi isteri dan anak-anak selepas bertarung dengan siri demi siri penyakit yang dialaminya sejak akhir-akhir ini.
Kesihatannya mula menurun sekitar tahun 2016, susut berat badan dan tidak seimbang perwatakannya serta kurang menulis di blognya.
Lahirnya, tahun 1953 di New Pasir Putih, Ipoh. Meneruskan pengajian di Universiti Malaya dalam tahun-tahun 1970-an, aktif kegiatan ko-kurikulum terutamanya persilatan Melayu dan merupakan pelopor kepada keujudan silat cekak di UM.
Menjadi jurulatih silat sepanjang pengajiannya, pernah dimasukkan ke hospital akibat kecederaan di pinggang selepas terjatuh ketika terbang setinggi 5 kaki lalu ditepis oleh pesaingnya. Namun, tidak melunturkan semangatnya berjuang sehingga akhir hayat dalam dunia persilatan.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah, meneruskan kerjaya perguruan dan mula mengajar di Sekolah Menengah Felda Lasah sekitar tahun 1977 hingga 1978.
Jawatan terakhir beliau, Pengarah Pendidikan Negeri Perak membuktikan iltizamnya ingin membentuk anak Perak agar mencapai keilmuan tertinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.
Sepanjang beliau mengajar di sekolah pedalaman, banyak aktiviti yang telah dilaksanakannya terutamanya dalam mengenalpasti anak-anak yang ada potensi masa depan. Beliau sering mengambil peluang menyelami kisah sebenar apa permasalahan si anak muridnya dengan mengunjungi rumah mereka dan bertanyakan ibu bapa lalu menyelesaikan situasi.
Ianya, terbukti berjaya membentuk sahsiah si murid dengan kekuatan minda di samping dorongan dan sikap positif yang ditunjukkan menjamin kelangsungan hidup seseorang. Sentuhan ajaib beliau menghasilkan kejayaan yang ajaib terhadap anak muridnya.
Percayalah, beliau mampu mengaktifkan pemikiran anak murid yang disentuhnya dengan corak kepelbagaian mengikut situasi kejadian yang terjadi lalu memungkinkan mereka menempa kecemerlangan. Beliau tidak minta dibalas atas apa yang telah ditabur tetapi menabur bakti yang bertebaran seperti kelopak-kelopak ros yang berterbangan di udara.
Hari ini, beliau telah kembali menemui Penciptanya tetapi segala kata-katanya tetap diingati sebagai pembakar semangat kami yang pernah mengenalinya. Seorang yang suka berbuat baik, membaikkan orang dan menyangi semua orang termasuk keluarganya sendiri.
Semasa kanak-kanak, beliau rapat dengan ibu dan kakaknya. Apabila dewasa, seorang yang rajin belajar dan berkemas serta memasak. Sebelum berkahwin, berulang alik dari rumah ibunya menaiki bas setiap pagi ke pekan Sungai Siput lalu menumpang kereta ustaz meneruskan perjalanan ke tempat mengajar di Felda Lasah.
Terlalu banyak untuk dicoretkan tetapi cukuplah sekadar itu ketika ini...
No comments:
Post a Comment