...ketika berusia 25 tahun, di Kg Melayu Batu 16, Rawang - aku di raikan oleh keluarga sebelah perempuan dengan mengadakan satu majlis kenduri secara sederhana bersempena pernikahan aku dan Ina. Kami di satukan dalam majlis pernikahan yang disaksikan oleh sanak saudara dari kedua-dua belah pihak.
Isteriku, berusia 20 tahun dan tidak bekerja. Beliau tinggal di rumah, sesekali menolong rakannya di sebuah restoren berdekatan Masjid Ar Rahmaniah, Rawang. Setahun sebelumnya, aku mengikat tali pertunangan selepas mengenalinya ketika Ina mengunjungi kampungku pada tahun 1985. Beliau ke sana mengiringi rakan sekolahnya bernama Kanya kerana majlis kahwin pakciknya di Kg Jalong, Sg Siput Utara, Perak.
Ketika itu, aku bercuti kecemasan menziarahi ayahku yang menjalani pembedahan apendiks di Hospital Ipoh. Kesempatan itu, aku menghadiri majlis kenduri tersebut dan terbuka hati apabila terpandang seorang gadis berambut panjang mengurai paras lutut yang melintasi pandanganku ketika sama-sama mengacau lauk di dalam kawah di malam gotong royong masak.
Inilah yang dinamakan jodoh!...akhirnya kini kami telah menghampiri usia perkahwinan 30 tahun. Segala susah senang dan jerit perih diharungi bersama melayari bahtera MILINA, menempuh badai dan gelombang menuju destinasi...
Kami sekeluarga pernah merantau ke beberapa negeri dan anak-anak mengikuti setiap lokasi, berpindah sekolah telah menjadi budaya yang harus diharungi sehingga mereka telah biasa dan tidak merungut.
Anak sulung, ketika ini sedang menjalani latihan Kadet Inspektor di PULAPOL KL sejak 8 Februari 2015. Beliau bakal menjadi pegawai polis di dalam PDRM, menghabiskan persekolahan rendah di SK Kem Desa Pahlawan hingga darjah 6, memasuki Maahad Muhammadi Kota Bharu selama 4 tahun sebelum bertukar ke SMK Klian Pauh Taiping sehingga tingkatan 5 dan menyambung tingkatan 6 di SM St George Taiping di peringkat STPM.
Mendapat tawaran memasuki Universiti Malaya sesi 2008 - 2011, dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan menduduki pengajian Sarjana Sains Sosial pembiayaan penuh biasiswa Universiti Malaya bagi sesi 2012 - 2014.
Manakala, anak tengah dan anak bongsu masih meneruskan pengajian masing-masing. Anak tengah sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan di UIAM Gombak sesi 2012 - 2016 dan anak bongsu pula mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan di UPM sesi 2013 - 2017.
Aku kini mendiami rumah peninggalan mertua di Rawang sejak 2010. Sebelum itu, aku dan Ina mendiami rumah kayu cengal yang aku dirikan pada tahun 2005 di Kg Terung Baharu, Trong. InsyaAllah, sehabis pengajian anak bongsu nanti, aku kembali semula mendiami Rumah MILINA yang amat aku sayangi itu demi kelansungan hidup di alam persaraanku.
No comments:
Post a Comment