SASTERAWAN Negara USMAN Awang pernah berkata, kekuatan jiwa dan semangat perlu benar jiwa dan semangat perlu benar dalam aliran kesusateraan kita hari ini, sebab kesusasteraan adalah sumber yang mengalirkan kesedaran dan pengertian dalam membentuk jiwa rakyat seluruhnya. Kita menghendaki pendukung-pendukung seni sastera mempunyai kesedaran yang cukup dan luas bahawa kesusasteraan adalah senjata bagi rakyat menggulingkan penjajah dan mendorong rakyat maju dan tegak dalam negara aman dan makmur.
Beliau menyarankan para penulis berusaha menghasilkan karya yang membentuk jiwa rakyat untuk mengisi kemerdekaan. Ini kerana, pengisian kemerdekaan adalah lebih sukar daripada kemerdekaan negara. Lantaran itu, karya sastera berbentuk novel, cerpen, drama dan sajak sewajarnya juga menjurus ke arah itu, iaitu mengisi jiwa remaja bagi mengisi kemerdekaan.
Menurut Prof Teeuw, dalam masyarakat tradisional, sastera adalah alat yang sangat penting untuk mempertahankan model dunia yang sesuai dengan adat istiadat dan pandangan dunia konvensional dan untuk menanamkan kod nilai tingkah laku dan kod etika.
Lantaran itu, langkah Kementerian Pendidikan mewujudkan dan mengekalkan komponen satera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah menengah dengan pelbagai karya yang mempunyai keseimbangan isi, bentuk dan kesan estetik untuk tatapan pelajar.
Perlu diingatkan, tanpa sastera dan budaya yang disemaikan dalam hati dan jiwa pelajar mereka akan lupa akar tradisi , lupa sejarah negara dan bangsa serta budaya dan nilai-nilai yang baik yang menumbuhkan pohon peradaban bangsa bagi mengisi kemerdekaan negara pada masa akan datang. Hanya sastera dan budaya akan menjadikan seseorang pelajar mempunyai akal budi yang terpuji dengan nilai-nilai murni dan mendapat pengajaran daripada pembacaan dan pengajaran sesebuah teks sastera.
Justeru, langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan dan memperbahrui bahan kesusasteraan iaitu teks Komsas yang diperkenalkan sejak tahun 2001 adalah terbaik. Ini bertujuan supaya bahan yang akan dipelajari lebih segar, baharu, sesuai dengan tujuan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu serta cintakan negara. Dalam rangka pembangunan pemikiran bangsa dan negara, dua perkara yang tidak dapat dicampurkan antara satu sama lain iaitu manusia yang berbudi luhur yang akan dapat melancarkan pembangunan moral, material dan spiritual; sebaliknya manusia yang berbudi rendah akan menghancurkan segala-galanya secara menyeluruh.
Walaupun tiada statistik dan analisis terperinci tentang kejayaan bidang sastera dan budaya dapat membangun akal budi manusia, namun secara tidak langsung sejak dahulu telah terbukti bahawa apabila seseorang dididik dan menghayati teks sastera mereka akan menjadi manusia yang perasa, lembut jiwa dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan sejagat serta cintakan negara.
No comments:
Post a Comment