Tuesday, 8 September 2015

Pahlawan

...dahulu, di Tanah Melayu seorang pahlawan menyisipkan keris di pinggangnya dan berjalan dengan gagah perkasa melalui denai menerobos hutan dan desa mendamaikan pertelingkahan sesama manusia. Dia berpakaian pahlawan, dikenali kawan dan lawan serta dihormati oleh golongan bangsawan. Musuh memang iri hati, menanti saat untuk menawan si pahlawan tidak kira masa dan ketika.

Apakah pahlawan itu orang tua yang compang camping, kusut masai, bertongkat dan uzur? Pada langkahnya, suatu masa dahulu...inilah aku yang berdiri di antara dua puncak, berpapah tongkat usang yang dulunya agama, cita-cita, kasih sayang dan semangat pengorbanan. Inilah aku yang merenang paya di antara dua pantai, tenggelam, tenggelam ditelan masa peredaran zaman.

Masuk zaman selepas merdeka, orang Melayu mulai berminat memasuki bidang ketenteraan terutama tentera yang diserapkan memasuki perkhidmatan Tentera Persekutuan. Pembesaran ketumbukan tentera di Tanah Melayu melambangkan kekuatan yang akan mencerminkan keutuhan kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu. Orang Melayu sememangnya mampu dan berkeupayaan mengawal kedaulatan negara ini. Bermula tahun 1933, pemuda Melayu menyahut cabaran menjadi pelatun pertama yang menggalas tugas dan tanggungjawab menubuhkan unit Askar Melayu di Port Dickson.

Orang Melayu ingin menjadi pahlawan! Biar apa pun persepsi masyarakat, pemuda-pemuda yang berpakaian lengkap ketenteraan akan teruja untuk menjadi wira negara.

Saat berjalan lalu, melintasi hadapan tetamu diraja dan kenamaan semasa Sambutan Hari kebangsaan 2015 yang lalu menampakkan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia melalui perbarisan dan lintasan udara. Masing-masing menampilkan kejaguhan dan ketrampilan lalu menguasai keseluruhan persembahan pada hari tersebut.

Rakyat yang hadir dipersembahkan pertunjukan dan gambaran bahawa negara ini ada barisan wira-wira yang sedia menggalas senjata terkini dengan kekuatan dan keupayaan tersendiri. bersedia di aturgerakkan ke medan dan mempertahankan setiap inci tanah negara.

Keamanan negara terjamin sekiranya wira negara silih berganti! Semangat anak muda rakyat Malaysia perlu digilap oleh generasi terdahulu yang kini semakin lemah dan uzur. Namun, mereka ada semangat dan masih mampu menyuarakan buah fikiran untuk diturunkan kepada generasi masa kini.  

No comments:

Post a Comment