Umur kami sama, lahir awal dan pertengahan serta hujung tahun 1961. Kemudiannya, selepas 40 tahun berkelana mengharungi lautan kehidupan di alam pekerjaan maka ditemukan semula melalui Grup 61 yang diuruskan oleh Saudara Mior Kamaruzaman dan Mior Raduan di Felda Lasah.
Antara aktivitinya ialah menyatukan kembali dan pertautan kisah silam alam persekolahan ketika dalam darjah 1 hingga darjah 6. Tidak terkecuali mengadakan perjumpaan semula dengan bekas Guru Besar dan guru-guru lama yang masih ada di dunia ini. Momentum semasa kecil mengimbau keikhlasan berkawan membuat kawan lama bertaut semula. Indahnya memoir tersebut terserlah apabila hampir sepuluh siri perjumpaan yang diadakan oleh grup-grup ini samada secara beramai-ramai atau kumpulan kecil.
Walaupun umur sama tetapi kemahiran dan kepandaian tidak sama kerana ada yang berpangkat tinggi, pertengahan dan sederhana penghidupannya. Masing-masing membawa haluan selepas darjah 6 mengikut minat dan kelulusannya untuk mencari ilmu dan pengalaman. Mengingat kembali rakan sebaya menguatkan ingatan kami untuk menghidupkan kemesraan apabila ada kalangannya yang sudah beranak cucu dan ada yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan serta pelbagai aktiviti lain. Adalah menjadi hasrat di kalangan kami untuk membuat sesi perjumpaan semula di majlis itu dan bolehlah meluangkan masa yang ada bagi mengetahui situasi mereka secara lebih dekat lagi.
Tahun ini, dikalangan kami telah memasuki usia 55 tahun. Kematangan usia mampu menjadi asas kepada kepemimpinan kami membimbing grup ini ke arah lebih berketrampilan menuju Wawasan 2020 nanti.
Bukakanlah hati-hati rakan kami yang berjaya dan sudah menjadi tokoh kepada negara untuk memerhatikan kisah dan kehidupan rakan serta anak buah di Felda Lasah yang terlantar, miskin dan kurang upaya...serta pelbagai tanggungan agar mereka sama-sama dapat harungi kehidupan selesa seusia mereka.
Tidak semuanya beroleh apa yang dicita, ada kalanya terbantut di tengah jalan dan ada yang tersangkut seawal memasuki alam pekerjaan...bersyukurlah kepada rakan yang berjaya mengharungi kehidupan dengan kejayaan namun akhirnya usia ini mematangkan kita agar muhasabah diri dan kembali tunduk kepada kehendak Ilahi. Kita bakal kembali dan baki usia yang ada eloklah kita berbakti kepada keluarga sendiri, adik beradik kita, saudara mara jauh dan dekat, jiran tetangga, sahabat karib dan sahabat G61 serta masyarakat kita.
Berkemungkinan semasa Jubli Emas Felda Lasah, ada lagi foto kenangan terbaru yang akan tersiar di dalam Utusan Malaysia.
Rakan sebaya membawa berkat andainya kita muafakat dalam bicara, dalam budi dan dalam hasrat...
No comments:
Post a Comment