Thursday, 9 June 2016

Jubli Emas FELDA LASAH

Felda Lasah merupakan penempatan rakyat Malaysia luar bandar yang berpendapatan rendah. Biasanya, peneroka ini bekerja di kampung yang menyara diri sebagai penoreh getah, pesawah padi dan bekas askar wataniah. Kebanyakannya sudah berumah tangga dan masih sihat ketika memohon memasuki peneroka rancangan tersebut.

Ianya terletak di dalam Hutan Simpan Lasah yang boleh dimasuki melalui pekan kecil Sungai Siput. Kini, simpang memasuki Felda Lasah telah ada bangunan Hospital Sungai Siput bagi kemudahan rawatan pesakit yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk sekitar.

Sekitar tahun 1964, Felda Lasah mula diterokai oleh pihak pengurusannya dengan menebang-tebas kawasan penempatan dan tapak ladang. Secara beransur-ansur, peneroka di bawa masuk sebagai pekerja sementara bagi mempercepatkan kerja penanaman anak benih getah dan sebagainya.

Antara tujuan utama menempatkan peneroka di kawasan pendalaman adalah menghapuskan aktiviti kegiatan komunis sekitar Banjaran Titiwangsa terutama laluan Lasah ke Grik.

Setelah memasuki usia 50 tahun, Felda Lasah menempuh era kejayaan di dalam pelbagai bidang antaranya peralihan komoditi getah kepada kelapa sawit. Begitu juga, kejayaan anak peneroka bagi generasi kedua di dalam kerjaya dan kejayaan luar biasa dalam akademik serta keusahawanan.

Tidak lupa kepada generasi pertama peneroka dari Peringkat A yang tabah dan bekerja keras melaksanakan tugas membangunkan penempatan tersebut. Keyakinan dan ketabahan mereka telah membuka mata pelapis kedua dan ketiga bagi menduduki kawasan felda yang serba baru dan asing bagi keluarga yang merantau dari kampung asal mereka.

Kini, ramai dari kalangan mereka telah kembali ke rahmatullah dan beberapa antara mereka masih ada sekitar 20 peratus untuk dicungkil pengalaman pertama mereka menjejaki tanah ini. Ketahanan mental dan kekuatan fizikal mereka telah membantu perkembangan dan kemajuan tanah bertuah tersebut sehingga berjaya melaksanakan impian generasi kedua dan ketiga menempuh kehidupan di luar rancangan.

Dengan jumlah penduduknya melebihi 3500 orang, dijangkakan Sambutan Jubli Emas nanti lebih meriah dengan kembalinya anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit memenuhi ruang rumah dan tapak festival bersempena musim Hari Raya Aidil Fitri 1437 Hijrah.

Dengan adanya grup Jubli Emas Felda Lasah, lebih cepat dan pantas ikatan silaturrahim terjalin dan maklumat festival dapat di sampaikan secara tepat dan teratur.

No comments:

Post a Comment