Saturday, 18 June 2016

Meneliti dan Melintasi Jambatan

Menyelusuri sungai dan denai, mengharungi arus deras dan menggunakan kudrat untuk merentasi bukit bukau dan gunung ganang malah melintasi jambatan gantung yang usang memeritkan pemikiran yang semakin uzur ini...

Semakin jauh berjalan, keletihan yang ditinggalkan memberi bekas-bekas rintiknya peluh membasahi dahi, baju usang dan lusuh menempuh panas mentari serta hujan mencurah...

Tiga hari lepas Hari Raya 1436 H yang lalu, kembalinya ke rahmatullah ayahandaku. Meninggalkan segala-galanya, ketika anak-anak sudah punyai keupayaan menyara diri dan keluarga malah mempunyai ramai cucu-cucu dan ada yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

Menjelang Syawal 1437 H nanti, doa selamat pada Hari Raya keempat diadakan oleh emak sebagai mengingati kembalinya arwah ayah sepurnama.

Ketika tempoh itu, sepurnamalah aku yang mengambil alih Ketua Keluarga ingin menyempurnakan hasrat ayah untuk menguruskan keluarga yang ditinggalkannya...berbekalkan pengalaman menguruskan pasukan ketika berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pemerintah dan Ketua Terup di mana-mana unit RAJD di seluruh negara, tidak mungkin mengurus keluarga kecil ini menjadi halangan bagiku.

Selama setahun ini juga, aku berhasrat mencari beberapa ilmu menguruskan tanah felda kerana aku diberi amanah semasa menghadiri taklimat oleh Pengurus Felda Lasah semasa menanda-tangani borang tanam semula kelapa sawit tempohari.

Di samping menambah ilmu syariat dalam bidang faraid kerana ilmu ini suatu yang jarang sekali dijumpai ada tenaga pengajar sukarelanya...puas mencari dan bertanyakan kepada orang agama serta jiran tetangga akhirnya kini mendapat kefahaman yang jelas.

Untuk anak felda generasi kedua, carilah ilmu ini kerana suruhan Allah Taala menghendaki kita melaksanakannya samada suka atau tidak, kita perlu kepada jalan yang telah ditunjukkan. Ikutilah jalan yang lurus ini kelak kita semua peroleh manfaatnya.

Sebagai anak sulung, aku ingin manfaatkan segala ilmu yang ada dalam menguruskan hala tuju keluarga yang ditinggalkan dengan harta yang boleh dimanfaatkan bagi kami dan warisan seterusnya. Kerajaan terdahulu berhasrat membasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu, keluarga ini telah keluar dari kepompong tersebut dan tidak mustahil ianya bakal menjadi miskin andainya tiada persiapan awal diambil untuk mengatasinya.

Kematian: Hj Ralib bin Hj Abu Bakar
Tarikh Kematian: 19 Julai 2015 ketika berusia 79 tahun
Tarikh Masuk Felda: 1 Julai 1968
Waris: Seorang Isteri dan 5 Anak Lelaki & 2 Anak Perempuan

1. Fardu - Isteri ; 1/8
2. Asobah - Anak Lelaki : Anak perempuan - 2:1

Sekatan Pemilikan ke atas tanah oleh undang-undang di bawah Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen telah meluluskan satu akta yang dinamakan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960 (GSA). Tanah yang terlibat dengan akta ini ialah tanah-tanah Rancangan FELDA, FELCRA dan Rancangan Tanah Pinggir.

Masalah yang berbangkit daripada akta ini ialah peruntukan Seksyen 14, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960 (Pindaan) 2002 yang tidak membenarkan tanah-tanah tersebut di miliki oleh lebih daripada dua orang pemilik.

Mengikut Hukum Faraid, setiap harta seseorang yang mati adalah menjadi harta pusaka. Demikian juga harta seorang peneroka FELDA yang meninggal dunia. Walaupun hak waris-waris tidak dinafikan untuk mewarisi tanah rancangan tersebut, undang-undang GSA menegah daripada nama-nama waris didaftarkan di dalam hakmilik tanah kecuali dua nama sahaj. Apa yang berlaku dalam pembahagian tanah GSA ketika ini, sekiranya si mati meninggalkan seorang isteri dan 7 orang anak: 5 lelaki dan 2 perempuan dan mereka menuntut bahagian masing-masing mengikut Hukum Faraid, pegawai Unit Pembahagian Pusaka selaku Pentadbir Tanah akan melantik sekurang-kurangnya seorang pentadbir untuk didaftarkan di dalam geran tanah. Tugas pentadbir ialah menguruskan ladang dan membahagikan hasilnya kepada waris-waris mengikut faraid atau sebagaimana dipersetujui oleh waris-waris. Mengikut Hukum Faraid bahagian waris-waris seperti berikut:

     : Isteri - 7/56
     : Anak Lelaki - 16/56
     : Anak Perempuan - 8/56

Sekiranya, diandaikan hasil yang diperolehi daripada penjualan buah kelapa sawit sebanyak RM1000 sebulan, masing-masing akan memperolehi bahagian seperti pengiraan di atas.

Masa berlalu dan berlaku kematian kepada anak lelaki pertama yang meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak, 1 lelaki dan 2 perempuan. Generasi ketiga ini juga berhak mewarisi harta bapa mereka mengikut kaedah Munasakhat pula.

Antara Hukum Syarak berkaitan, beberapa kaedah boleh digunakan, antaranya: Hukum faraid, Hukum Wasiat, Hukum Hibah, Harta Sepencarian dan Sah Taraf Anak/ Anak Angkat.

Berdasarkan kepada undang-undang yang berkaitan dengan urusan pembahagian harta pusaka orang Islam seperti tersenarai, dapatlah disimpulkan bahawa urusan pembahagian harta pusaka adalah kombinasi daripada undang-undang sivil dan undang-undang/ hukum syarak. Pembahagian harta pusaka orang Islam sebenarnya merupakan perkongsian bidang kuasa antara Pentadbir Tanah dan Mahkamah Sivil di satu pihak dan Mahkamah Syariah di satu pihak lagi.

Langkah Demi Langkah

Langkah I:   Membuat faraid di Pejabat Agama

Langkah II:  Membuat perbicaraan di Pejabat Tanah

Langkah III: Membuat persetujuan di Pejabat Felda

Langkah IV: Membuat persetujuan sesama adik-
beradik

Sebenarnya, Ilmu Faraid tidak susah. Asasnya boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya. Cuma, apabila kita sampai ke tahap yang lebih mendalam, barulah kita dapati perkara yang berkaitan dengan faraid agak sukar diselesaikan. Untuk kes-kes biasa, apabila si mati meninggalkan waris-waris utama, iaitu suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak, tidaklah sukar. Kedua-dua ayat al;Quran, ayat 11 dan ayat 12 Surah An-Nisa dapat dijadikan panduan.

No comments:

Post a Comment