Monday, 20 June 2016

JELMAAN MANUSIA RAKUS

Masyarakat kita makin meminggirkan kehidupan mulia bertunjang akal budi demi mengejar kemewahan di era melinium abad ke 21 ini.

Lumrah kedengaran di sana-sini, anak-anak Melayu bermasalah dalam segenap segi terutama melibatkan hubungan dengan ibu bapa, adik beradik, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

Ikatan kekeluargaan sudah longgar dan tali persaudaraan tidak lagi dianggap penting. Kita semakin cenderung menyelesaikan masalah bukan menerusi perantaraan ahli keluarga dan sahabat handai dalam suasana kekeluargaan dan ukhwah.

Malah, semangat ukhwah dan silaturrahim Islam semakin diketepikan. Samada adik beradik, saudara dan rakan, semuanya memilih untuk mengambil tindakan mahkamah.

Suatu ketika masyarakat Melayu hairan dan pelik melihat orang lain menyaman sesama sendiri biarpun memiliki pertalian darah dan keturunan. akini kita melakukan perkara yang sama. Apakah ini petanda Melayu sebagai Muslim semakin kehilangan jati diri keMelayuan dan Islamnya sama seperti umat lain.

Nilai, akhlak dan ukhwah tidak seteguh dulu dan tidak lagi diutamakan. Jika ini berlanjutan, apakah ia mencerminkan kemerosotan nilai hidup berkeluarga dan bermasyarakat yang diutamakan dan dimuliakan selama ini mengikut warisan budaya bangsa serta nilai pegangan agama? Apakah institusi keluarga tidak lagi penting berbanding pemburuan kekayaan, kesenangan dan kemewahan hidup.

Paling bahaya apabila masyarakat semakin berleluasa memburu kepentingan peribadi dan individu hingga sanggup berbuat apa sja. Kalau institusi lain dalam keluarga pun sanggup dimusnahkan, apa lagi institusi yang membulatkan masyarakat, bangsa dan negara termasuk adat, agama dan undang-undang tidak lagi dipandang penting. Segala yang menyumbang kepada keutuhan dan keteguhan masyarakat akan dianggap sebagai sekatan dan halangan kepada cita-cita besar peribadi yang lebih diutamakan.

Sekiranya diperhatikan, sebahagian besar kes saman menyaman yang memusnahkan keluarga membabitkan perebutan ke atas hak milik, rumah dan harta termasuk harta pusaka orang yang meninggal dunia. Namun, ada kes yang melibatkan harta yang belum menjadi pusaka kerana bapanya masih hidup dan rumah serta tanah seolah-olah telah dirampas dan disaman anak sendiri.

Warga Malaysia dan bangsa melayu khasnya seolah-olah menciplak tren yang menjadi ciri kehidupan masyarakat moden, terutama di Barat. Sebelum menikmati pembangunan, misalnya, masyarakat Melayu rata-rata merasai keistimewaan hidup bermasyarakat, sekalipun kehidupan ketika itu tidak semewah hari ini. Pegangan teguh kepada nilai hidup bermasyarakat yang mengutamakan perhubungan mesra dan keindahan budaya hormat menghormati dan saling bantu membantu telah memberi makna dan nilai tinggi.

Sekalipun terdapat konflik, semangat ukhwah dan pegangan kuat kepada hidup berakhlak mulia akan mengelak retak membelahkan perpaduan dan kebulatan masyarakat keseluruhannya. Perasaan malu, pertimbangan ke atas harga diri dan pertimbangan menjaga nama baik keluarga dan kampung akan mengelakkan ramai daripada melakukan sesuatu yang dianggap curang atau dilarang. Namun, suasana seperti ini sudah hampir tiada lagi.

No comments:

Post a Comment