Sunday, 19 June 2016

Menjelang Sambutan Jubli Emas FL

Hari ini, Isnin 20 Jun 2016 bersamaaan 15 Ramadan 1437 H.

Lagi 3 minggu atau 19 hari sebelum Felda Lasah menjadi medan pertempuran atau perjumpaan semula anak-anak felda dari seluruh pelusuk dan ceruk rantau kembali bersatu.

Di Felda Lasah, tentunya lokasi mendirikan khemahnya terletak di satu kawasan yang khas semata-mata menyambut kehadiran tetamu khas yang memenuhi ruang atas pentas utama termasuk AJK-AJK sambutan yang telah bertungkus-lumus memerah keringat mencari idea sejak 5 tahun yang lalu.

Kemungkinan juga, beberapa cadangan wakil peneroka gabungan 4 peringkat rancangan digabungkan bersama idea wakil generasi kedua yang telah berjaya di persada serta idea oleh wakil perantau yang kembali dari luar negara.

Akhirnya, tercatatlah di dalam lipatan sejarah yang akan dimasukkan ke dalam akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan felda bahawa Felda Lasah telah berjaya menggamit seramai 5000 keturunannya kembali sambut hari Jubli Emasnya secara meriah dan besar-besaran.

Keluarga 89B dari Jalan Melati akan membawa semua keluarga kami anggaran 30 orang dari Rawang, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mengadakan majlis tahlil arwah ayah pada hari tersebut, sekaligus menghadiri sambutan JE di sana nanti.

Pertemuan semula rakan dan jiran lama yang terpisah mengingatkan kembali bagaimana kehadiran kita pada saat ketibaan membuka pintu rumah kayu yang tidak berkunci antara tahun-tahun awal perpindahan dari kampung halaman tempohari. Dengan tingkap kayu di depan dan belakang tanpa langsir, kita boleh melihat dengan jelas ketibaan jiran satu persatu membawa beberapa beg galas dan keperluan alatan untuk mencuba nasib menempuh alam baru bersama keluarga baru di sini.

Laman kita tanpa pokok dan hanya ditumbuhi lalang serta tiada bekalan air dan api di dalam rumah. Hanya sebuah rumah kayu dengan 1 bilik tanpa pintu dan ada satu ruang depan dan ruang dapur. Ianya boleh memuatkan seramai 4 orang iaitu seorang bapa sebagai ketua keluarga, seorang ibu dan dua anak yang masih usia 7 tahun dan 5 tahun.

Saya ketika itu di dalam darjah 1, lalu memasuki Sekolah Kebangsaan RLKT Lasah yang terletak bersebelahan Pejabat Felda, rumah kakitangan Felda dan Masjid serta deretan kedai runcit.

Kini, suatu perkampungan yang tersusun rapi dengan segala kemudahan. Perubahan ketara kepada rumah penduduknya yang rata-rata diubahsuai ada yang menjadi banglo, rumah batu dan ada yang kekal kayu tetapi dihias serta dicatkan warna kesukaan. Keliling rumahnya dipenuhi oleh tumbuhan terdiri pelbagai spesis buahan, herba dan bungaan memeriahkan lagi suasana perkampungan yang indah dan damai ini.

Jika dahulu stor getah menjadi laluan kami untuk keluar masuk ke Jalan Melati samada untuk urusan ke kebun atau ke pekan Sungai Siput sambil menanti bas. Teringat lagi bau getah yang menusuk hidung tetapi kini tapak stor getah telah didirikan pusat internet desa bagi mencelikkan warga di sini untuk membuat kerja sekolah atau bermain komputer.

Apakah akan ada lagi perubahan ketara di Felda Lasah selepas kehadiran Menteri Besar Perak di Festival Jubli Emas nanti...

No comments:

Post a Comment