Friday, 2 May 2014

Skuad Bakti RAJD

RAJD sinonim berbakti kepada masyarakat. Ahli politik parti kerajaan sering meminta bantuan tentera di dalam melaksanakan pelbagai projek terutama kepada masyarakat luar bandar. Mengikut susur galur perjalanan alir awal penubuhan RAJD sejak zaman sebelum merdeka, jalan RE memang dikenali oleh penduduk pedalaman terutama di Sungai Siput (U) Perak. Ia menghubungkan antara Lasah di sebelah utara dan Kuang di selatan.
     Tugas pegawai dan anggota RAJD adalah menyeluruh meliputi tugas bina dan musnah, membangun sesuatu kawasan terpencil dan menghubungkan perjalanan terutama dalam membina jambatan, lebuhraya dan laluan antara penempatan terpencil. Semasa pembinaan dilaksanakan, anggota RAJD membawa alat persenjataan bagi mengawal kegiatan serang hendap pengganas komunis dan juga ancaman haiwan liar. Tugas berat telah digalas oleh anggota tentera yang berdedikasi dan keazaman yang tinggi membantu pembangunan negara sejak dahulu kala. Kini, pengorbanan anggota jurutera yang berkemahiran tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak yang melaksanakan projek berskala besar.
     Tanpa RAJD, operasi ketenteraan pasti akan tergendala kerana anggotanya bersedia membekalkan bekalan air di medan serta bantuan kejuruteraan lain yang berkaitan operasi di medan pertempuran. Hakikatnya, banyak tugas berat yang terpaksa dipikul oleh mereka tanpa gagal. Inilah hasrat pihak yang mencetuskan idea penubuhan pasukan jurutera medan samada semasa aman dan peperangan.
     Jangan merungut bila dapat tugas, laksanakan dengan penuh gaya seperti helang yang menyambar ikan di pinggir sungai. Pastikan hasil yang cemerlang dan terimalah anugerah cemerlang anda. Selamat berkhidmat kepada SB RAJD!

No comments:

Post a Comment